Peniaga durian diingatkan letak tanda harga

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

BANDARAYA MELAKA 16 Jun – Musim durian datang lagi, namun bagi sesetengah peminat tegar raja buah itu harga yang ditawarkan penjual tidak menjadi halangan walaupun pada skala yang tinggi asalkan mereka dapat menikmati keenakannya.

Namun, dalam keghairahan mereka membeli ada segelintir peniaga dikatakan terlepas pandang meletakkan tanda harga dan berlakunya turun naik harga.

Tinjauan Melaka Hari Ini ke beberapa lokasi jualan durian mendapati ada di antara penjual durian khususnya di bahu jalan tidak mempamerkan tanda harga dan hanya akan memberitahu harga apabila ditanya oleh pembeli.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka Norena Jaafar berkata, pemantauan khas dilakukan pihaknya bermula semalam susulan aduan diterima pihaknya membabitkan rasa kurang senang pembeli apabila tiada tanda harga dipamerkan oleh penjual.

“Banyak aduan diterima membabitkan tiada tanda harga dipamerkan. Apabila tiada tanda harga dipamerkan akan berlakunya harga berubah-ubah dan semalam kita mulakan pemantauan.

“Kita tidak mahu nanti peniaga ini mereka meletakkan harga durian contohnya melihat kepada kenderaan dinaiki pembeli. Misalnya kalau Perodua Kancil harga lain, kalau pacuan empat roda atau Toyota Alphard atau Vellfire lain pula,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebanyak tujuh pasukan penguatkuasa ditugaskan untuk melakukan pemantauan harian ke atas penjual buah-buahan khususnya penjual durian di seluruh Melaka.

“KPDNHEP meminta kerjasama orang ramai terutamanya pembeli untuk memaklumkan kepada kami sekiranya mereka ada melihat penjual yang tidak mempamerkan tanda harga.

“Semalam, dua peniaga durian di Jasin dikompaun masing-masing RM1,000 kerana didapati tidak mempamerkan tanda harga sekaligus melakukan kesalahan mengikut Perintah 3 (1), Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit) 1993,” katanya.

Views:

400
Kongsi :
Previous post Bekas kakitangan MPNM direman bantu siasatan kes penyelewengan
Next post Tak puas hati bil tinggi, pengguna boleh fail tuntutan pada TTPM
Ubah saiz-+=