Tak puas hati bil tinggi, pengguna boleh fail tuntutan pada TTPM

PUTRAJAYA 16 Jun – Pengguna yang tidak berpuas hati dengan bil elektrik yang melambung tinggi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh memfailkan tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, berkata langkah itu adalah alternatif selain penyaluran aduan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Suruhanjaya Tenaga.

“Isu bil elektrik yang tinggi semasa PKP memang dalam perhatian kita. Kita sedar ramai yang meluahkan rasa tidak puas hati.

“Buka fail di TTPM dengan bayaran fi RM5 dan kes akan diadili sebaiknya,” kata di sini hari ini.

TTPM katanya, sudah menerima dua tuntutan termasuk satu berkaitan kenaikan luar biasa bil elektrik yang difailkan pada 5 Jun lalu.

Isu kenaikan bil elektrik hangat dibincangkan oleh rakyat, khususnya menerusi media sosial, yang tidak berpuas hati dengan caj yang dikenakan kerana terlalu tinggi berbanding sebelumnya.

TTPM yang ditubuhkan pada 15 November 1999 menyediakan saluran alternatif kepada pengguna untuk membuat tuntutan ganti rugi berkenaan pembelian barangan atau perkhidmatan dengan kes boleh diselesaikan kurang daripada 60 hari.

Badan itu juga membolehkan pengguna memfailkan tuntutan tebus rugi terhadap pembelian barangan dan perkhidmatan yang tidak menepati apa yang diiklankan dengan amaun tidak lebih RM50,000.

– BERNAMA

Views:

1
Previous post Peniaga durian diingatkan letak tanda harga
Next post TNB Bills: Consumer can lodge claims with TTPM