PENIAGA LITTLE INDIA ANTARA PENYUMBANG PERKEMBANGAN EKONOMI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

BANDA HILIR 28 Oktober –  Peniaga di Little India, diiktiraf sebagai antara penyumbang kepada perkembangan ekonomi yang progresif bagi Negeri Melaka, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Ketua Menteri berkata, setiap kali menjelang pesta cahaya khususnya beberapa hari menjelang perayaan Deepavali,  Little India menjadi tumpuan kerana sudah tersohor sebagai syurga beli belah dalam kalangan masyarakat India.

Ab Rauf berkata, lebih istimewa Little India bukan sahaja menjadi tumpuan rakyat Melaka, sebaliknya turut menggamit pengunjung luar untuk membeli belah sambil menikmati keunikan dan keindahan suasana sekitar.

Katanya, deretan premis perniagaan sepanjang jalan di Little India yang dikenalikn 39 peniaga memberikan impak amat positif terhadap perkembangan ekonomi setempat dan Negeri Melaka.

“Setiap kali perayaan Deepavali khususnya, deretan kedai ini pastinya dipenuhi dengan masyarakat India dan ia umpama ‘shopping heaven’ untuk mendapatkan pelbagai jenis tekstil, pakaian selain barangan perhiasan.

“Saya amat menghargai sumbangan peniaga di Little India dalam membawa pembangunan dan peningkatan kegiatan ekonomi yang dilihat begitu progresif, ekaligus mencerminkan taraf keusahawanan masyarakat India juga mampu memberi impak yang besar kepada pertumbuhan ekonomi khususnya Negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Deepavali 2024 Peringkat Negeri Melaka, di Padang Nyiru, malam tadi.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan, Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam, barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Mengulas lanjut Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri khususnya dibawah pentadbiran beliau sentiasa terbuka untuk mendengar kehendak dan keperluan masyarakat India, selain optimis dalam memastikan aspek kebajikan serta kesejahteraan rakyat tanpa mengira bangsa atau agama.

“Justeru Kerajaan Negeri berusaha untuk terus memperkasa sosioekonomi rakyat yang telah banyak
menyumbang bakti kepada pembangunan Negeri Melaka selama ini.

“Pada tahun ini Kerajaan Negeri bersetuju memberi peruntukan sumbangan sebanyak RM200,000 kepada 1,000 orang masyarakat India sempena perayaan Deepavali,” katanya.

Menurut Ab Rauf, beliau amat berharap agar perayaan Deepavali kali ini akan disambut dengan penuh semangat muhibah kerana inilah peluang untuk rakyat memupuk keutuhan kasih sayang dan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum serta budaya di negara ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

251
Kongsi :
Previous post PESTA DEEPAVALI DI PADANG NYIRU MERIAH
Next post KAWASAN REKREASI BAHARU TAMAN MASJID TANAH RIA
Ubah saiz-+=