Peniaga makanan ‘home based’ digalakkan ambil suntikan tifoid – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 20 September – Peniaga makanan ‘home based’ di negeri ini digalakkan untuk mengambil suntikan tifoid bagi menjamin kualiti produk dijual dan kesihatan pelanggan mendapatkan perkhidmatan mereka.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, promosi secara besar-besaran akan dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan mengambil suntikan itu dalam kalangan pengendali makanan tempatan.

“Aspek kualiti dan tahap keselamatan makanan memang kita pandang serius, kerana Negeri Melaka adalah destinasi tumpuan utama pelancong domestik dan asing.

“Jabatan Kesihatan Negeri dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggalakkan semua penyedia makanan terutama yang beroperasi dari rumah memasarkan makanan secara dalam talian untuk ambil suntikan tifoid ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia 2022 Peringkat Negeri Melaka ‘Safer Food, Better Health’ di Auditorium Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) Dr. Ruzita Mustaffa.

Dr Muhamad Akmal turut menggalakkan peniaga home based supaya berdaftar dengan Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (FoSIM) disediakan KKM.

“Selepas daftar FoSIM peniaga akan diberikan sijil pengendalian makanan. Semua ini adalah untuk memastikan mereka lebih bertanggungjawab terhadap aspek kualiti makanan dan menjamin kesihatan pelanggan.

“Pendaftaran adalah percuma. Tetapi sebelum daftar peniaga perlu mengambil suntikan tifiod dan mengikuti latihan dengan dikenakan bayaran RM50 sahaja,” katanya.

Selain itu beliau menasihatkan pelanggan agar menyemak dahulu sama ada peniaga home based berkenaan sudah berdaftar dengan FoSIM atau sebaliknya.

“Mana-mana pelanggan yang mahu membeli makan dari rumah ini, periksa dahulu menerusi aplikasi FoSIM, ini bukan sekadar menggambarkan mereka pengguna yang bijak, sebaliknya mendorong lebih ramai pengusaha makanan mendaftarkan diri dalam FoSIM.

“Setakat ini jumlah peniaga home based yang berdaftar di Melaka hanya 11 orang, jadi kita harap selepas pelancaran hari ini jumlahnya akan meningkat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1902
Kongsi :
Previous post Cebisan tulang, baju ditemukan di lokasi pekerja kuari dikhuatiri tertimbus
Next post Penghantar makanan tidak sempat ikat tali pertunangan
Ubah saiz-+=