Pentingnya Bahasa Melayu Dimartabatkan

Masa Membaca:3 Minit, 34 Saat
Prof. Datuk Dr. Sidek Baba

 

 

 

Oleh Prof. Datuk Dr. Sidek Baba

 

BAHASA merupakan alat untuk melakukan komunikasi dan alat menyampaikan ilmu dan maklumat. Dengan bahasa orang memahami akan sesuatu supaya pemikiran terbina dan amalan terpedoman.

Tanpa bahasa hubungan sosial tidak akan terjadi dan masyarakat kehilangan arah. Dalam konteks negara kita Bahasa Melayu sangat penting dimartabatkan kerana sejarah kehadirannya di rantau ini diucapkan oleh lebih 300 juta manusia.

Bahasa Melayu mempunyai sejarah yang lama dan berkembang menjadi bahasa ilmu dan digunakan dalam sistem pendidikan.

Perlembagaan Malaysia Artikel 152 memperuntukkan dengan jelas Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan atau bahasa rasmi. Rasmi dalam pentadbiran dan pendidikan dan bahasa lain boleh dipelajari.

Bahasa Melayu terkait dengan perjalanan sejarah di rantau ini dan menjadi bahasa lingua-franca dan memiliki faktor pemersatu dalam budaya dan kehidupan masyarakatnya yang majoriti orang Melayu.

Perlembagaan Negara adalah rujukan penting supaya perundangan negara dan dasar-dasar kenegaraan yang tercermin darinya menjadi tiang seri perjalanan dan pembangunan negara supaya sifatnya teratur dan terarah. Penyimpangan dari roh Perlembagaan Negara boleh menghasilkan konflik.

Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi perlu dimartabatkan supaya status sebagai bahasa pentadbiran, keilmuan dan pendidikan diperkukuh dan diperteguh.

Memperkasa Bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa memberi menfaat berbanding dan pelaksanaan dasar pendidikan negara.

Gambar hiasan. Foto Sinar Harian

Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris dalam pendekatan pendidikan negara kita memberi hala tuju yang jelas bahawa status atau kedudukan Bahasa Melayu jangan diremehkan sehingga Bahasa Inggeris dijadikan bahasa utama dan Bahasa Melayu sebagai bahasa sampingan merujuk kepada perkembangan Institut Pengajian Tinggi negara.

Telah sekian lama Bahasa Melayu dimartabatkan ia melahirkan ilmuan, saintis dan professional yang menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan bagi negara Malaysia dan usaha memarbatkannya jangan dipandang remeh kerana langkah tersebut tidak menepati ruh Perlembagaan Negara.

Bahasa Melayu yang dianggap sebagai bahasa ibunda adalah bahasa ilmu, bahasa sains dan teknologi dan juga bahasa professional sekiranya jatidiri kenegaraan menjadi pegangan kita. Jepun maju dan China maju kerana yakin bahasa ibunda mereka menyebabkan ini berlaku.

Bila keyakinan terhadap bahasa ibunda tinggi dengan memartabakannya dalam sistem pendidikan dan pentadbiran negara ia menjadi faktor penting mencintai bahasa ibunda dan memartabatkannya dengan tekad dan perancangan yang tersusun rapi.

Ianya tidak menyekat untuk mempelajari berbahasa lain. Ilmuan Islam contohnya menguasai berbagai bahasa untuk menjadikan mereka tersohor tetapi bahasa Arab tetap dimartabatkan kerana sumber ilmu dalam Islam kembali kepada Al Quran dan al Hadith dalam bahasa Arab. Uniknya Bahasa Melayu kerana ianya terkait dengan Islam.

Terdapat banyak istilah al Quran dan Bahasa Arab di dalamnya supaya maknanya tepat dan memperkukuh perbendaharaan kata Bahasa Melayu.

Perkataan adil bukan bermakna tidak menyebelahi mana mana pihak tetapi lebih tepat lagi meletakkan sesuatu pada tempatnya.

Ihsan memberi makna baik atau kebaikan. Pekerti yang ihsan bermaksud pekerti yang hati budinya murni sekali untuk dicontohi dan dijadikan sumber ikutan.

Amanah terhubung dengan melaksanakan tanggung jawab dengan jujur menginsafi bahawa tanggungjawab itu tidak saja kepada manusia, organisasi dan sistem tetapi amanah dengan Pencipta.

Bayangkan maksud dalam Bahasa Melayu memberi makna yang tepat tidak saja bagi keperluan komunisaksi dan pengucapan tetapi menjalin hubungan yang manusiawi sifatnya supaya manusia hidup dalam muafakat dan mahabbah.

Perkataan salam saja memberi konotasi as salam, bersalam-salaman, sejatera dan ianya menjadi kunci kepada masyarakat yang damai dan harmoni.

Jika ianya jadi amalan dan penghayatan bayangkan kehidupan manusia akan jadi lebih santun dan beradab. Perkataan adab adalah faktor penting kepada terbinanya tamadun atau peradaban.

Adab dalam bahasa ilmu ialah disiplin fikir, disiplin hati dan disiplin amal. Tiga faktor jika ditautkan dengan baik bakal menjelmakan perbuatan yang berbudi. Ianya menjadi lambang kepada keteraturan dan ketertiban dan akhirnya menjelmakan suatu tamadun.

Inilah matlamat sebenarnya yang dicari oleh manusia bukannya keangkuhan, kesombongan, permusuhan kerana sikap begini akan mencetuskan rasa perbezaan dan kelainan yang mendalam dan bercanggah dengan mengapa manusia diciptakan melainkan kembali kepada fitrah diri (salama).

Memartabatkan Bahasa Melayu menjadikan ia sumber peradaban kerana istilah yang mendukung kekuatan bahasa ini lahirnya dari tamadun besar.

Tidak timbul rasa kerdil diri dan tidak berimej antarabangsa kerana tamadun Andalusia yang bertahan selama 800 tahun diperkongsi oleh orang-orang Barat untuk membangun tamadun mereka kerana karya karya besar dalam Bahasa Arab diterjemah ke dalam bahasa Latin, Ibrani dan Hebrew dan menjadikan mereka mengalami proses transformasi di abad pertengahan.

Views:

5769
Kongsi :
Previous post Pembangkang setuju sertai Jawatankuasa Khas Bebas mengenai darurat
Next post ASEAN perlu pendekatan kolektif dalam menangani jenayah siber
Ubah saiz-+=