‘Penumpang’ Melaka FC akan disingkirkan

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

BANDARAYA MELAKA 17 April – Kelab Bolasepak Melaka (Melaka FC) sedia menyingkirkan mana-mana pemain yang dianggap sebagai ‘penumpang’ (passenger).

Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (MAFA) Datuk Wira Nur Azmi Ahmad berkata, perkara itu dilakukan bagi memastikan pasukan berkenaan menampilkan aksi terbaik dalam saingan Liga M3 musim ini.

Katanya, selepas Aidilfitri, mana-mana pemain yang didapati tidak mencapai atau memenuhi visi dan misi MAFA akan mula diberikan surat amaran bagi memperbaiki prestasi mereka.

“Kita akan mengikut prosedur iaitu mengeluarkan tiga notis sebelum menyingkirkan mana-mana pemain atau pegawai.

“Amaran pertama akan dikeluarkan selepas raya supaya mereka fokus kepada misi kita untuk kembali ke Liga Super.

“Memandangkan ada pemain-pemain dari pasukan lain berminat menyertai Melaka FC, saya akan menilai semua mana-mana pemain ‘passenger’ untuk disingkirkan dan membawa masuk pemain baharu untuk melengkapkan pasukan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama Datuk Wira Nur Azmi Ahmad Presiden MAFA di sebuah hotel, di sini, semalam.

Nur Azmi memaklumkan, pihaknya sentiasa menitikberatkan soal kebajikan pemain dan pegawai pasukan yang mana tiada lagi isu tunggakan gaji berlaku setakat ini.

Beliau bagaimanapun, mahu pemain meningkatkan momentum permainan memandangkan penaja hanya akan melabur apabila mencatat keputusan yang baik.

“Penaja kita tidak melabur secara ‘bulk’ sebaliknya melabur secara bulanan mengikut prestasi dan keputusan yang diraih.

“Jadi, jika kita dapat berada di landasan kemenangan dan menduduki tangga dua terbaik, sudah pasti penganjur-penganjur ini akan kekal bersama kita.

“Sebab itulah saya mahu pemain dan pegawai yang fokus kepada misi dan visi saya untuk kembali beraksi di Liga Super musim depan dan untuk itu kita perlu menjadi dua pasukan terbaik Liga M3,” katanya.

Dalam pada itu, Nur Azmi turut mengalu-alukan hasrat Ketua Menteri Melaka Ke-13 Datuk Seri Ab Rauf Yusoh untuk membantu mengembalikan kegemilangan bola sepak Melaka menerusi bantuan kewangan.

Untuk rekod, setakat tiga perlawanan Melaka FC telah mencatat satu kemenangan, satu seri dan satu kekalahan dalam saingan Liga M3 musim ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5301
Kongsi :
Previous post Semak harga, beli tiket melalui aplikasi rasmi syarikat penerbangan – Loke
Next post PPSPM rai 130 warga kerja berbuka puasa
Ubah saiz-+=