Penunggang motosikal cedera rempuh kereta tukar lorong

0
3716
TANGKAP layar video tular menunjukkan sebuah kereta menukar haluan dari kanan ke kiri sebelum dilanggar motosikal ditunggangi mangsa.

AYER KEROH 15 APRIL. – Seorang lelaki cedera selepas motosikal ditungganginya terbabit kemalangan dengan sebuah kereta yang menukar laluan, dalam kejadian jam 5.15 petang di Jalan Tun Abdul Razak – Lebuh Ayer Keroh, di sini, semalam.

Video kemalangan itu yang tular turut menunjukkan selepas terbabit kemalangan pemandu kenderaan bertindak meneruskan perjalanan.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, siasatan berhubung kejadian sedang dijalankan pihaknya selain pemandu kenderaan hanya tampil membuat laporan petang tadi.

“Selepas dimaklumkan mengenai kemalangan pihak kami cuba mengesan pemandu kenderaan itu bagi membantu siasatan.

“Bagaimanapun pemandu itu yang juga seorang wanita hanya tampil membuat laporan kira- kira jam 4 petang tadi,” katanya.

Beliau berkata, penunggang motosikal yang juga pemandu lori berusia 27 tahun dilaporkan cedera.

“Kemalangan dikatakan berlaku apabila kereta terbabit yang berada di lorong kanan mengubah haluan ke sebelah kiri.

“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan di bahagian punggung serta paha kiri,” katanya.

Ujarnya, siasatan berhubung kejadian masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.