Peralatan menyelamat LiSA ditempatkan di ‘hotspot’ lemas

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

SERKAM 15 Oktober – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merekodkan sebanyak 157 insiden mati lemas di seluruh negara sejak awal tahun ini sehingga Jun lalu.

Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk M Noor Azman Taib berkata, antara faktor menyebabkan kejadian lemas di sungai, tali air, pantai dan air terjun adalah akses yang tidak terkawal ke kawasan terbabit selain kurang pengetahuan mengenai keadaan air.

Katanya, selain itu faktor kecuaian, pengabaian keselamatan, kesalahan anggapan terhadap tahap bahaya air serta kurang penyeliaan visual yang berterusan dalam kalangan penjaga.

“Berdasarkan statistik dikeluarkan JBPM, 306 kematian akibat lemas dilaporkan di seluruh negara sepanjang tahun lalu, berlaku peningkatan berbanding 239 kematian pada 2020.

“Berdasarkan data dikeluarkan oleh JBPM Melaka pula, dua kes mati lemas direkodkan pada 2020, manakala empat kes tahun lalu dan tiga kes bagi tempoh Januari hingga setakat ini,” katanya selepas melancarkan Majlis Keselamatan Aktiviti di Air (MKAA) peringkat negeri Melaka 2022 di Pantai Siring, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Cawangan Program Keselamatan dan Kesedaran Awam JBPM, Penolong Pesuruhjaya Bomba Nik Zulkifli Ibrahim dan Pengarah JBPM negeri, Penolong Persuruhjaya Bomba Abu Bakar Katain.

M Noor Azman berkata, bagi memastikan insiden menyumbang kepada kematian yang tinggi itu, JBPM menerusi MKAA menempatkan sebanyak 50 kit peralatan menyelamat atau ‘Life Saving Appliances (LiSA)di kawasan berisiko seluruh negara.

“Bagi Melaka, tiga LiSA ditempatkan iaitu Pantai Siring, Pantai Puteri dan Tanjung Bidara yang berfungsi memberi bantuan awal ketika kecemasan. Apabila orang awam memecahkan kaca peti LiSA, ia akan mengeluarkan siren menandakan kecemasan berlaku dan pada masa sama menghantar isyarat kepada balai bomba berhampiran.

“Peti berkenaan mengandungi peralatan menyelamat seperti siren, pelampung, jaket keselamatan, ‘throwbag rope’ dan peti pertolongan cemas,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2477
Kongsi :
Previous post Terserah kepada PAS – Ab Rauf
Next post Qasidah, selawat junjungan Nabi bergema di Seri Bendahara
Ubah saiz-+=