Peratus pemilikan rumah Melaka melebihi peringkat nasional – KM

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

JASIN 25 September – Melaka merekodkan peratusan pemilikan rumah sebanyak 83.5 peratus, lebih tinggi daripada peratus pemilikan di peringkat nasional iaitu 76.9 peratus.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, ia terbukti apabila Kerajaan Negeri berjaya mengekalkan status sebagai negeri menawarkan harga rumah terendah di Malaysia.

Menurutnya, sehingga kini nilai jualan kediaman di Melaka pada harga purata adalah RM212,729 berbanding harga purata peringkat nasional bernilai RM439,084 berdasarkan laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) pada 30 Jun lalu.

“Setakat ini sebanyak 45,064 Rumah Mampu Milik akan dibina di negeri Melaka bagi tempoh 2020 sehingga 2025, daripada jumlah itu sebanyak 11,198 unit Rumah Mampu Milik siap dibina setakat 31 Ogos lalu.

“Manakala yang mahukan Rumah Mampu Milik dah memohon dengan Lembaga Perumahan Melaka (LPM) ialah sebanyak 18,647 unit yang mana akan mula dibina dalam masa terdekat,” katanya.

IMG_20220925_141748_110
SULAIMAN ketika berucap merasmikan Rumah Contoh Bandar Botani Parkland di Bandar Botani Parkland Fasa 2. Foto: MR AZLI

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Rumah Contoh Bandar Botani Parkland di Bandar Botani Parkland Fasa 2 di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Zaidi Attan; Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh; Pengarah Eksekutif LPM, Mohd Salleh Hamidom dan Pengarah Urusan Parkland Group, Victor Tan See Sen.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, setakat 30 Jun lalu, rumah yang tidak terjual di negeri ini adalah sebanyak 651 unit kediaman bernilai RM254.46 juta.

IMG_20220925_141906_474
JASIN 25 SEPTEMBER 2022. Sebahagian pengunjung yang hadir pada Majlis Perasmian Rumah Contoh Bandar Botani Parkland Fasa 2, Jasin. Foto: MR. AZLI

“Daripada jumlah itu bangunan kediaman yang belum terjual di Melaka Tengah adalah 562 unit, Alor Gajah 36 unit dan Jasin 54 unit.

“Manakala hartanah komersial belum dijual sebanyak 247 unit bernilai RM193.60 juta, daripada jumlah ini di Melaka Tengah ialah sebanyak 225 unit, Alor Gajah 15 unit dan Jasin tujuh unit,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1775
Kongsi :
Previous post Pakej rangsangan, pembukaan semula sektor ekonomi kurangkan impak besar COVID-19 – PM
Next post K-KOM akan hidupkan kembali warisan telah pupus
Ubah saiz-+=