K-KOM akan hidupkan kembali warisan telah pupus

GEORGE TOWN, 25 Sept – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOM) akan menghidupkan kembali warisan dan kebudayaan yang telah pupus dalam usaha memupuk seni warisan serta industri kreatif negara.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata pihaknya akan pergi ke setiap negeri untuk melihat serta mengenal pasti warisan atau kebudayaan yang telah pupus dan menjalankan usaha menghidupkannya semula.

“K-KOM dapat tahu sesetengah aktiviti warisan dan kebudayaan di beberapa negeri telah pupus jadi kita hendak pergi ke tiap-tiap negeri dan lihat macam mana nak buat supaya warisan dapat dihidupkan kembali, kita akan panggil balik bakat-bakat (warisan dan kebudayaan) tersebut.

“Macam contoh di Terengganu, ada satu warisan yang dah mati (pupus)…saya tak ingat namanya namun kita sedang usahakannya (hidupkan kembali) dan di Perlis kami hidupkan kembali ‘Awang Batil’ untuk tunjukkan seni kebudayaan kita,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Beliau ditemui selepas Pertandingan Akhir Jaguh Boria anjuran Jabatan Penyiaran Malaysia di Dewan Budaya, Universiti Sains Malaysia (USM) di sini yang turut dihadiri Ketua Setiausaha K-KOM Datuk Seri Mohammad Mentek.

Zahidi berkata usaha mengembalikan warisan dan kebudayaan yang telah pupus itu penting untuk menjadikan industri kreatif negara sebagai sebahagian penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara,

“Mungkin ke depan kita akan cari bajet dan sedikit peruntukan untuk tiap-tiap negeri dapat hidupkan kembali warisan dan kebudayaan yang pupus. K-KOM akan bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berhubung perkara tersebut. Kita akan tunjukkan kepada orang ramai terutama pelancong luar yang Malaysia kaya dengan kebudayaan,” katanya.

Mengulas mengenai pertandingan Jaguh Boria itu, Zahidi berkata RTM menjalinkan kerjasama strategik dengan Jabatan Pendidikan dan Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri, Pulau Pinang bagi menganjurkan pertandingan tersebut untuk mencungkil bakat-bakat seni industri kreatif.

Katanya, penganjuran pertandingan itu juga antara inisiatif pihaknya bagi menarik minat golongan muda terutama dalam kalangan pelajar sekolah terhadap seni warisan dan kebudayaan negara.

Dalam pertandingan itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (P) Methodist dinobatkan sebagai juara dan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM30,000 manakala naib juara SMK Permatang Tok Jaya (RM20,000) dan tempat ketiga SMK (P) St. George (RM15,000). – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

659
Previous post Peratus pemilikan rumah Melaka melebihi peringkat nasional – KM
Next post Bajet 2023 beri tumpuan pemulihan ekonomi selepas COVID-19