Pergerakan penumpang domestik MAHB melonjak kepada 2.3 juta pada November

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

KUALA LUMPUR, 15 Dis – Rangkaian lapangan terbang Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) di Malaysia merekodkan sejumlah 2.3 juta pergerakan penumpang pada November 2021, melepasi paras dua juta buat pertama kali sejak bermulanya penularan pandemik COVID-19 pada April tahun lepas.

Pengarah Urusan Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata peningkatan 77 peratus daripada 1.3 juta yang dicatatkan pada Oktober disumbangkan terutamanya oleh pergerakan penumpang domestik, yang terus bertambah baik sejak pelonggaran sekatan perjalanan rentas negeri.

Lapangan terbang di Malaysia merekodkan sejumlah 2.15 juta penumpang domestik bulan lepas, melonjak 82 peratus daripada 1.18 juta penumpang pada bulan sebelumnya.

“Permintaan menggalakkan yang dilihat dalam perjalanan domestik dalam tempoh dua bulan lepas adalah berita baik bukan sahaja untuk sektor penerbangan tetapi juga untuk rakan kongsi runcit dan makanan dan minuman kami, yang turut melihat tanda-tanda pemulihan secara beransur-ansur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sejajar dengan peningkatan pergerakan penumpang, terdapat juga lonjakan dalam pergerakan pesawat domestik yang meningkat 43 peratus daripada 18,966 pada Oktober kepada 27,084 pada November.

Sementara itu, gabungan operasi Malaysia dan Turki kumpulan mencatatkan peningkatan 15 peratus dalam jumlah pergerakan penumpang daripada Oktober kepada 4.72 juta. Operasi Malaysia menyumbang 49 peratus kepada jumlah prestasi.

Iskandar Mizal berkata kumpulan terus kekal optimis memandangkan tanda-tanda awal pemulihan telahpun dilihat dalam tempoh dua bulan lepas selain jangkaan peningkatan pergerakan penumpang dalam beberapa bulan akan datang.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

745
Kongsi :
Previous post Jabatan Perikanan sedia perluas projek penternakan ikan
Next post MGBM bertemu KBS bincang penangguhan laksana had umur belia
Ubah saiz-+=