Perkembangan Ainul Mardhiah positif, semakin lasak

Masa Membaca:2 Minit, 7 Saat

AYER MOLEK 6 Jun — Perkembangan kesihatan bayi yang sebelum ini menjalani pembedahan membuang ketumbuhan akibat ‘Germ Cell Tumor’ di mulut semakin positif apabila dia mampu menutup sendiri tiub pernafasan untuk mengeluarkan sebutan.

Ainul Mardhiah yang berusia setahun sembilan bulan semakin aktif bermain seperti bayi seusianya meskipun keadaan fizikalnya masih belum mampu berdiri seperti bayi normal.

Bapa Ainul, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 25 berkata anak tunggalnya itu sudah pandai menutup tiub pernafasannya untuk mengeluarkan bunyi.

Katanya dia dan isteri, Nurul Erwani Zaidi, 25 menyedari Ainul Mardhiah sudah mula mengikut ritma lagu dalam rancangan kartun kegemarannya di televisyen.

“Ada sekali kami perasan, dia akan tutup trachy (tiub pernafasan) dan menyebut ‘lalala’ mengikut rentak lagu rancangan kartun kegemarannya.

“Ini bermakna dia sudah faham macam mana hendak menggunakan lidahnya meskipun tiada perkataan tertentu dikeluarkan.

“Doktor yang merawat ada memberitahu, kebiasaanya budak yang memakai tiub itu hanya tahu tutup tiub itu apabila sudah besar, tetapi bagi Ainul agak cepat menunjukkan perkembangan yang cepat dan positif,” katanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan Ketua Menteri Melaka, Datuk Haji Sulaiman Md Ali di kediamannya di Taman Desa Ayer Molek, di sini hari ini.

Hadir sama Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek, Rahmad Mariman dan Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Latifah Omar.

Ahmad Safiuddin berkata, pemerhatian lebih kerap perlu diberikan terhadap aktiviti Ainul Mardhiah kerana bayi terbabit semakin bijak mengatur pergerakan sendiri.

Menurutnya, jika dahulu tiub pernafasan di leher Ainul Mardhiah disambungkan setiap masa pada mesin bekalan oksigen namun sejak anaknya sudah pandai mencabut tiub itu, dia dan isteri akan melepaskan Ainul Mardhiah kira-kira 10 minit setiap hari untuk bebas bermain.

“Perkembangan fizikalnya juga semakin baik selepas dia menjalani rawatan fisioterapi dan dia boleh duduk dengan sendiri tanpa bantuan dan berdiri menggunakan kaki.

“Sebelum ini bila kita dirikan dia, dia tidak mampu pijak sebab kaki dia tak kuat, Alhamdulillah kita boleh nampak fizikal dia semakin kuat,” katanya.

Menurut Ahmad Safiuddin, buat masa ini Ainul Mardhiah masih menjalani rawatan biasa daripada Hospital Melaka dan belum ada sebarang rawatan susulan yang membabitkan kos tinggi.

“Sebarang rawatan susulan nanti dan jika Ainul sudah bersedia doktor akan maklumkan sekiranya perlu,” katanya.

Dalam pada itu, Sulaiman berkata kerajaan negeri menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri dan ADUN Ayer Molek akan meneliti keperluan yang akan disumbangkan kepada bayi berkenaan dari semasa ke semasa.

“Setakat ini, keluarga Ainul sudah menerima bantuan JKM sebanyak RM350 sebulan sejak setahun lalu dan kita akan pastikan keperluan bayi berkenaan disalurkan menerusi wakil rakyat kawasan,” katanya.

Views:

642
Kongsi :
Previous post Melaka pertimbang hantar pulang pekerja asing
Next post TYT Melaka terima ucapan tahniah daripada pemimpin DMDI
Ubah saiz-+=