Pertandingan pidato kembalikan jiwa patriotisme – KM

Masa Membaca:2 Minit, 39 Saat

SERI NEGERI 16 Sept – Pertandingan Pidato Rukun Negara (PPRN) Peringkat Kebangsaan, Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka menjadi wadah mengembalikan semula jiwa patriotisme yang kini dilihat semakin menipis dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, idea pertandingan yang dizahirkan sendiri oleh TYT Tun Seri Setia Dr Mohd Ali bin Mohd Rustam, amat baik kerana telah mendapat penyertaan yang tinggi.

“Pertandingan ini telah berjaya menarik minat seramai 203 penyertaan, bagi empat kategori yang dipertandingkan, iaitu Kategori Sekolah Rendah, Kategori Sekolah Menengah, Kategori Institut Pengajian Tinggi dan Kategori Awam.

“Berikutan kecemerlangan itu, pada tahun ini pula, saya dimaklumkan, Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia sendiri mencadangkan supaya pertandingan Pidato ini, dianjurkan pada peringkat Kebangsaan yang penyertaannya terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan PPRN yang disiarkan secara maya menerusi Facebook rasmi Kerajaan Negeri Melaka, di sini hari ini bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.

Hadir sama, Mohd Ali.

Pertandingan turut disaksikan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Wira Halimah Mohamed Sadique, Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Ts. Kamel Mohamad.

Turut sama, EXCO Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna Merangkap Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk PPRN, Datuk Wira Ar. Ismail Othman.

EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknikal & Vokasional, Sains dan Inovasi, Merangkap Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Pertandingan Pidato, Datuk Noor Effandi Ahmad.

Pemangku Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Profesor Dr. Ghazali Omar, Setiausaha Jawatankuasa Penganjur Pertandingan Pidato, Profesor Datuk Dr Baharudin Puteh dan Timbalan Setiausaha 1, Jawatankuasa Penganjur Pertandingan Pidato, dan Institut Tun Perak, selaku agensi pelaksana, Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, beliau turut berterima kasih kepada Kementerian Perpaduan Negara yang banyak membantu dan bekerjasama dalam penganjuran pertandingan pidato ini.

“Ini termasuklah dengan penambahan satu lagi kategori baharu iaitu Bukan Melayu, saya diberitahu oleh pihak urusetia, pertandingan pidato pada kali ini telah berjaya menarik penyertaan seramai 970 pemidato yang berbakat dari seluruh negara.

“Sampaikan, para juri menghadapi kesukaran untuk memilih pemenang, kerana yang bertanding semuanya hebat-hebat belaka. Tahniah dan syabas kepada semua,” katanya.

Pada pertandingan peringkat akhir ini, sebanyak 25 peserta daripada lima kategori iaitu Awam, Bukan Melayu, Institut Pengajian Tinggi, Sekolah Menengah dan Sekolah Rendah akan mempamerkan kehebatan masing-masing bagi merebut hadiah wang tunai berjumlah RM300 hingga RM5,000.

Selain wang tunai, pertandingan yang mengumpulkan sejumlah 970 peserta dari seluruh negara itu juga menawarkan pelbagai hadiah menarik termasuk piala pusingan, piala iringan, koleksi buku dan sijil penyertaan.

Bertemakan Rukun Negara Sebagai Prinsip Perpaduan Demi Kejayaan dan Kestabilan Rakyat yang memberi fokus kepada frasa Kesetiaan Kepada Raja dan Negara serta Keluhuran Perlembagaan, pertandingan berkenaan mula dibuka kepada umum pada 5 Julai lepas.

Peserta di peringkat akhir pertandingan ini dijalankan secara maya dan peserta perlu menghantar video yang dirakamkan sebelum diberi markah oleh barisan juri diketuai Ketua Kluster Warisan dan Peradaban Universiti Islam Malaysia Tan Sri Prof Dr Abdul Latiff Abu Bakar.

Untuk rekod, tahun lalu, pertandingan pidato berkenaan telah dilaksanakan bagi peringkat negeri yang diurusetiakan oleh Institut Tun Perak manakala pada tahun ini pula, ia dilaksanakan di peringkat kebangsaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

765
Kongsi :
Previous post 15 peserta berentap merebut gelaran juara pertandingan pidato
Next post Skuad Sabil Tangga Batu bantu santasi sekolah
Ubah saiz-+=