Skuad Sabil Tangga Batu bantu santasi sekolah

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

MELAKA 16 Sept – Skuad Sabil Tangga Batu bersedia melakukan proses sanitasi dan nyahkuman percuma di sekolah rendah dan menengah dalam Parlimen Tangga Batu bagi membantu melengkapkan persediaan persekolahan sesi baharu tidak lama lagi.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Rais Yasin berkata, sebagai permulaan kerja-kerja sanitasi akan dibuat di Sekolah Menengah Kebangsaan Paya Rumput pada  minggu depan.

Menurutnya, skuad kemudiannya akan bergerak ke sekolah-sekolah yang membuat permintaan untuk disanitasi melibatkan keempat-empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Klebang, Paya Rumput, Sungai Udang dan Pantai Kundor dalam Parlimen Tangga Batu.

SEBAHAGIAN petugas Skuad Sabil Tangga Batu bergambar bersama bunting khidmat percuma sanitasi selepas kerja-kerja sanitasi dilakukan di sebuah taman perumahan dalam Parlimen Tangga Batu.

“Ia bertujuan memastikan persekitaran dalam dan luar sekolah bebas virus COVID-19 dan selamat digunakan oleh pihak sekolah terutama murid apabila sesi persekolahan bermula nanti.

“Kita membelanjakan kira-kira RM60,000 bagi pembelian mesin dan kerja-kerja sanitasi ini sejak bermula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama sekitar tahun lalu,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).

Menurutnya, pihaknya mula menawarkan perkhidmatan sanitasi percuma sejak PKP 1.0 dan tumpuan kepada lokasi padat dengan penduduk dan ‘kawasan panas’ COVID-19.

Kata Rais, Skuad Sabil Tangga Batu terdiri daripada dua kumpulan yang dianggotai 16 orang menjalankan sanitasi awam di masjid, surau dan lebih 28 taman perumahan.

“Sewaktu diperkenalkan, skuad ini lebih tertumpu di masjid dan surau dan disebabkan kerja-kerja yang aktif dijalankan, permintaan mula diterima daripada pihak pengurusan taman perumahan yang berminat mendapatkan khidmat kami,” katanya.

Menurut Rais, pihaknya menggunakan dua kaedah sanitasi iaitu secara semburan asap dan cecair mengikut ketetapan Kementerian Kesihatan.

“Sepanjang proses (sanitasi) dijalankan, semua petugas sentiasa diingatkan supaya mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan seperti memakai pakaian perlindungan diri, pelitup muka, sarung tangan dan menjaga jarak fizikal.

“Kita juga turut memaklumkan kepada penduduk taman agar turut bekerjasama dengan petugas skuad agar menutup pintu dan tingkap rumah mereka ketika kerja-kerja sanitasi dilakukan pada bahagian luar rumah masing-masing,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

622
Kongsi :
Previous post Pertandingan pidato kembalikan jiwa patriotisme – KM
Next post Rindu deruan motosikal trafik
Ubah saiz-+=