Sorting by

×

Pertandingan Pidato Rukun Negara berpotensi jadi acara tahunan

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

MELAKA 16 Sept – Kerajaan negeri bercadang menjadikan Pertandingan Pidato Rukun Negara (PPRN) Peringkat Kebangsaan, Piala Pusingan Tuan Yang di-Pertua Negeri Melaka sebagai acara tahunan dan positif ia dapat menarik penyertaan berlipat kali ganda pada masa hadapan.

Exco Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Seri Ismail Othman berkata, penyertaan kali ini yang mencecah 970 peserta membuktikan berpidato masih mendapat tempat dalam kalangan masyarakat tanpa mengira umur dan bangsa.

“Pertandingan ini perlu diteruskan untuk memartabatkan lima prinsip Rukun Negara dan pada masa yang sama sebagai usaha mewujudkan kefahaman, amalan serta meningkatkan penggunaan Bahasa Melayu dalam kehidupan seharian masyarakat berbilang kaum.

“Untuk itu kita harap pada masa hadapan lebih ramai menyertai pertandingan ini. Kita doakan agar tahun depan ia dapat dilakukan secara bersemuka, terutama selepas semua rakyat telah divaksin dan keadaan pandemik reda,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas pertandingan bertemakan Rukun Negara Sebagai Prinsip Perpaduan Demi Kejayaan dan Kestabilan Rakyat yang dilakukan secara hibrid di Pejabat Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka, di sini hari ini.

Ismail berkata, pihaknya akan melakukan penambahbaikan dalam aspek penyusunan dan pengaturan pertandingan mengikut kesesuaian keadaan malah lebih bersedia sekiranya pertandingan tersebut terpaksa dilakukan secara maya sekali lagi di masa hadapan.

“Kita akui terdapat beberapa masalah yang timbul seperti audio peserta kurang jelas memandangkan ia mungkin dirakam dalam bilik atau persekitaran tidak sesuai. Jadi, kita akan menambah baik perkara-perkara ini pada masa depan,” katanya.

Hari ini adalah kemuncak Pertandingan Pidato Rukun Negara (PPRN) Peringkat Kebangsaan, Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka bertemakan Rukun Negara Sebagai Prinsip Perpaduan Demi Kejayaan dan Kestabilan Rakyat.

Pada pertandingan peringkat akhir ini, sebanyak 15 peserta daripada lima kategori iaitu Awam, Bukan Melayu, Institut Pengajian Tinggi, Sekolah Menengah dan Sekolah Rendah mempersembahkan kehebatan masing-masing bagi merebut hadiah wang tunai berjumlah RM300 hingga RM5,000.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

762
Kongsi :
Previous post Kerajaan naikkan kadar bantuan wang ihsan kepada RM1,000
Next post Laman web ‘Memorial COVID-19 Malaysia’ dibangunakan kenang mangsa terkorban
Ubah saiz-+=