Sorting by

×

Pes sizzling ilham arwah suami penyambung rezeki

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

KLEBANG 8 Februari – Menempuh perjalanan hampir satu jam setiap hari dengan menaiki bas menuju ke Pusat Hab Pengeluaran Produk Usahawan Asnaf Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), di sini, tidak pernah menjemukan wanita ini yang berkobar-kobar untuk bergelar usahawan berjaya.

Kegigihan Alimah Isnin, 42, wajar dijadikan contoh oleh  asnaf di negeri ini kerana dia tidak pernah berputus asa dalam usaha meningkatkan taraf hidup selain memanfaatkan kemudahan disediakan MAIM untuk golongan sepertinya.

Berkongsi pengalaman Alimah berkata, sejak 2019 rutin hariannya adalah keluar dari rumah di Pengkalan Balak, menuju ke Masjid Tanah Sentral dan menaiki bas ke Klebang.

“Setiap pagi saya bersemangat untuk menyiapkan pes sizzling pelanggan. Bagi saya produk ini istimewa dan menyimpan banyak kenangan kerana ia adalah ilham daripada arwah suami yang juga seorang tukang masak.

“Idea untuk menghasilkan pes ini timbul selepas arwah suami ketika itu membawa anak keluar bersiar-siar melihat hidangan sizzling di sebuah kedai. Kerana tertarik dia beri cadangan agar saya hasilkan pes hidangan itu.

“Saya ambil masa beberapa bulan untuk hasilkan pes dengan rasa terbaik. Alhamdulillah setakat ini sambutan amat menggalakkan,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya MAIM banyak membantu dalam mempromosikan produknya termasuk daripada aspek pelabelan dan pensijilan, sekali gus meningkatkan lagi tahap keyakinan pengguna.

Katanya, hab milik MAIM itu menyediakan semua kelengkapan diperlukan usahawan sepertinya termasuk mesin retort yang memudahkan lagi proses menyediakan produk.

Wanita ini berkata di hab berkenaan dia dan asnaf lain dibimbing uleh penyelaras dan kakitangan untuk menghasilkan produk yang lengkap serta siap untuk dipasarkan.

Dia mengikut segala panduan yang diberikan kerana sasarannya adalah bergelar usahawan dan melebarkan lagi pasaran pes sizzling dihasilkan.

Selepas pemergian suami lima tahun lalu anak-anak menjadi kekuatannya, malah dia berasa bangga kerana anak sulungnya kini sudah melanjutkan pengajian ke menara gading dalam bidang kejuruteraan kimia.

“Sebelum ini saya pernah usahawan produk popiah karbonara sejuk beku, namun kurang berjaya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2004
Kongsi :
Previous post Operasi SAR anggota komando disambung pagi ini
Next post Dialog Buah Melaka medan belia bersuara
Ubah saiz-+=