Pesta memancing ikan sungai atasi fenomena ikan mati

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

BANDARAYA MELAKA 25 April – Kerajaan Negeri menerusi Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) akan mengadakan pesta memancing dan pertandingan memasak ikan sungai bagi mengatasi fenomena ikan mati di Sungai Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata penganjuran aktiviti itu sebagai langkah proaktif bagi mengatasi fenomena ribuan ikan sungai mati setiap tahun pada 21 hingga 23 April akibat perubahan cuaca.

Katanya,  ia secara tidak langsung turut menjadi tarikan baharu sempena sambutan Tahun Melawat Melaka 2024.

“Kematian ribuan ikan ini  menyebabkan pencemaran dan fenomena ini berlaku setiap tahun pada 21 hingga 23 April akibat perubahan cuaca hingga menyebabkan air Sungai Melaka menjadi lebih cetek dan kemasukan air laut.

“Jadi, lebih baik kita lakukan sesuatu yang bermanfaat kepada rakyat berbanding membiarkan ikan itu mati dan menjadi bangkai.

“Pertandingan memancing dan memasak ikan sungai itu akan diadakan sebelum bulan April tahun hadapan di sepanjang 5.4 kilometer Sungai Melaka Fasa 2 hingga Batu Hampar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat lawatan di Pejabat PPSPM di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP), Sa’ari Basiron.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata lebih lima tan ikan mati dikesan di Sungai Melaka sejak kelmarin.

Katanya, langkah itu juga sebagai antara kaedah dalam memastikan ekologi di Sungai Melaka terpelihara terutama daripada pencemaran bau amonia yang terhasil daripada bangkai ikan.

“Ia kaedah menang menang dan akan minta Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman memikirkan kaedah penganjurannya nanti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1745
Kongsi :
Previous post Op Selamat 20: 1,551 kemalangan direkodkan semalam
Next post Rim dijangka jadi hab kraftangan dan ekopelancongan TMM2024
Ubah saiz-+=