PGA tahan lebih 5,000 pendatang tanpa izin

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

KUALA LUMPUR, 14 Dis – Pasukan Gerakan Am (PGA) merekodkan sebanyak 5,862 tangkapan individu membabitkan kes kemasukan pendatang tanpa izin dengan nilai rampasan sekitar RM366 juta sejak tahun lepas.

Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am SAC Muhammad Abdul Halim berkata jumlah itu diperoleh melalui operasi diadakan di sekitar perairan negeri Selangor yang menjadi tumpuan pendaratan pendatang tanpa izin.

Beliau berkata operasi terbabit turut membawa kepada tangkapan tekong darat serta laut selain penemuan rumah-rumah apungan yang menjadi tempat persembunyian pendatang tanpa izin itu.

“Kejayaan tersebut melibatkan kesemua 5 Briged PGA seluruh negara dan turut mendapat kerjasama pelbagai agensi di bawah Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) yang turut serta dalam menghasilkan tangkapan yang berkualiti,” katanya menerusi program Koresponden Bernama.

Muhammad berkata PGA akan turut melaksanakan satu operasi khas dalam mengekang kemasukan pendatang tanpa izin di sekitar perairan negeri Selangor dalam masa terdekat.

Beliau berkata terdapat banyak titik pendaratan tanpa izin serta lorong tikus di sini bermula dari sempadan Sungai Lang di utara Selangor yang bersempadanan dengan Perak sehingga Sepang yang bersempadanan dengan Negeri Sembilan.

“Berikutan ia menjadi lokasi tumpuan mereka untuk memasuki negara, pihak kami akan menggandakan operasi itu,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1577
Kongsi :
Previous post Jalan Simpang Pulai – Cameron Highlands dibuka semula mulai Jumaat
Next post Varian Omicron : WHO jangka peningkatan kemasukan ke hospital, kematian
Ubah saiz-+=