Pikat pelabur Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi

Masa Membaca:2 Minit, 15 Saat

AYER KEROH – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, optimis Misi Pelaburan dan Promosi Pelancongan Melaka ke Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi di Selatan China, bakal membuka lembaran baharu bagi sektor pelancongan, industri pembuatan kenderaan elektrik (EV), penerbangan dan ekonomi digital.

Sepanjang misi berkenaan Ab Rauf, menghadiri beberapa perjumpaan penting bersama pemimpin kanan Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi selain melawat fasiliti perindustrian berteknologi tinggi.

Antara acara penting disertai Ketua Menteri adalah Mesyuarat Dua Hala bersama Kerajaan Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi, bagi membincangkan kerjasama pelancongan, pembuatan EV dan penerbangan dari Bandaraya Nanning ke Melaka.

Kata beliau, mesyuarat penting itu dihadiri Gabenor Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi, Lan Tianli dan Naib Gabenor Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi, Miao Qingwang.

“Sempena Mesyuarat Dua Hala itu, dua Memorandum Persefahaman (MoU) turut ditandatangani antara Perbadanan Ketua Menteri Melaka (CMI) dan Guangxi Investment Group Co Ltd dalam bidang ekonomi digital.

“MoU juga ditandatangani antara Melaka World Heritage Sdn Bhd dan Guangxi Tourism Development Group dalam bidang pelancongan,” kata Ketua Menteri menerusi perkongsian di Facebook rasmi beliau.

Selain perjumpaan empat mata bersama pemimpin kanan wilayah berkenaan, Ketua Menteri bersama delegasi Negeri Melaka turut meninjau kemudahan terdapat di fasiliti Tenaga Baharu (NE) Lu Yuan dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) di Guangxi, Guigang.

Jelas beliau, lawatan ke Guigang antara lain bertujuan untuk menarik penyertaan pemain industri dan pelabur dari China untuk meneroka peluang pelaburan baharu di Melaka menerusi pembinaan hab alat ganti NEV bagi pasaran Asia.

408656738 801798105292216 7573031589245570522 N
AB Rauf dan delgasi Melaka meninjau kemudahan terdapat di fasiliti Tenaga Baharu (NE) Lu Yuan dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) di Guangxi, Guigang. Foto Facebook Ab Rauf Yusoh

Menurutnya Guigang adalah bandar raya pengeluar kenderaan elektrik (EV) dan e-basikal yang terbesar di China, selain fasiliti NE, Guigang adalah pengeluar komponen serta alat ganti NEV untuk lebih daripada 50 jenama terkenal di seluruh dunia.

“Taman Perindustrian EV di Guigang seluas 667 hektar ini memberi nilai pulangan tahunan melebihi RMB100 bilion (RM64.5 bilion).

“Saya bersama delegasi Kerajaan Negeri Melaka turut dibawa melawat ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Tenaga Baharu di Guigang, sebelum mengadakan lawatan ke produk pelancongan di Qingxiu dan Muzium Guangxi.

“Hasil lawatan ini saya optimis lawatan ini bakal membuka lembaran baharu kepada sektor pelancongan di Negeri Melaka dalam usaha mempelbagaikan lagi produk pelancongan sedia ada khususnya dalam sektor pelancongan logistik,” katanya.

Delegasi Kerajaan Negeri Melaka turut disertai Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Penasihat Khas Pelaburan Ketua Menteri merangkap ‘Special Envoy’ Melaka ke China, Datuk Lim Ban Hong; Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri Melaka (CMI), Masrul Faizal Mohamad serta Pengurus Besar Melaka World Heritage, Erne Hamsah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1910
Kongsi :
Previous post Op Pewa: 265 kenderaan disita sehingga November
Next post Kantoi sorok barang kawalan
Ubah saiz-+=