Pindah 14 kubur lama berusia lebih 100 tahun

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER MOLEK 10 November – Sebanyak 14 pusara berusia lebih 100 yang terletak di Solok Bukit Jinjang, Kampung Kandang, di sini, dipindah ke tanah perkuburan Islam baharu.

Pegawai Seksyen MAL Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Mohd Aisamuddin Abdul Hamid berkata, pengalihan kubur lama itu dilakukan selepas pihaknya mendapat permohonan daripada pemilik tanah untuk berbuat demikian.

Beliau berkata, proses pengalihan itu dilakukan selepas permohonan yang dikemukakan oleh pemohon mendapat kebenaran dan kelulusan daripada Jabatan Mufti.

“Selepas kita jalankan siasatan terdapat 14 kubur lama di lokasi ini yang mana dipercayai berusia antara 100 hingga 200 tahun. Usia kubur ini adalah berdasarkan kepada beberapa faktor termasuk batu nisan yang digunakan.

“Sebelum proses pengalihan, kita sudah membuat hebahan bagi mengenal pasti waris. Bagi proses kali ini ia membabitkan 14 pusara iaitu empat wanita dan selebihnya dalah lelaki,” katanya ketika ditemui, di lokasi pemindahan kubur berkenaan, semalam.

WhatsApp Image 2022-11-10 at 12.43.47 AM
PEGAWAI Seksyen MAL Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Mohd Aisamuddin Abdul Hamid menguruskan pemindahan 14 kubur lama berusia lebih 100 yang terletak di Solok Bukit Jinjang, Kampung Kandang ke tanah perkuburan Islam baharu. Foto Iqmal Haqim Rosman.

Menurutnya, proses pengalihan kubur itu turut membabitkan Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), MAIM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Proses penggalian kita buat pada kedalaman antara dua hingga tiga kaki dan kita selalunya akan gunakan kaedah bau tanah selain mencari serpihan tulang ini kerana struktur tanah itu akan menghasilkan bau ‘wangi’ selain melihat keberadaan anai-anai.

“Sebelum ini proses pemindahan kubur dibuat pada waktu malam kerana serpihan tulang akan dikesan daripada cahaya yang timbul namun disebabkan kos yang agak tinggi, ia kini dibuat pada sebelah siang,” katanya.

Ujarnya, proses itu dilakukan secara sistematik dengan serpihan tulang ditemui dikafankan semula, disusun mengikut nombor agar tidak tertukar dan dikebumikan semula di lokasi baharu.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2836
Kongsi :
Previous post Sentuh hati 80,000 penduduk sebelum kempen berakhir
Next post Penjual buah maut motosikal rempuh kereta
Ubah saiz-+=