PKP 2.0: Poket nipis? Ini cara suri rumah jana RM3,000 sehari

Masa Membaca:2 Minit, 25 Saat

BUKIT KATIL 21 Jan. – Ketika ramai yang mengeluh ekonomi terjejas sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0, lain pula bagi suri rumah ini yang berjaya menjadikan ‘musim norma baharu’ sebagai lubuk rezeki sehingga mampu meraih pendapatan kasar RM3,000 sehari.

Jika Mac tahun lalu ketika negara mula-mula melaksanakan PKP, dia terpaksa menggunakan wang RM1,000 hasil Bantuan Prihatin Nasional (BPN) sebagai modal berniaga, kali ini dia menggunakan pula simpanannya dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KSWP) sebagai modal permulaan.

Itu yang berjaya dibuktikan Siti Hartika Shaari, 33 dan suami, Shah Rizan Shahudin, 38, yang kini menambah ‘cawangan’ perniagaan iaitu ikan bakar ‘dapoqijanterbakaq’ selain menawarkan pelbagai jenis lauk mentah dalam talian yang telah diusahakan sejak awal PKP Mac tahun lalu.

Menurutnya, mengikut perancangan awal dia dan suami sambil dibantu anak tunggalnya, Muhammad Fazrin Naim Mohd Faizal, 12, merancang untuk buka warung makan ikan bakar di hadapan rumah mereka di Bukit Baru di sini.

“Sewaktu kerajaan mengumumkan kelonggaran membenarkan pencarum KWSP mengeluarkan 10 peratus atau RM10,000 daripada Akaun 1 di bawah Program i-Sinar, memang sudah terlintas di fikiran untuk menjadikan duit itu sebagai modal permulaan menjual ikan bakar.

“Malah, sebaik sahaja duit KWSP itu diperoleh awal Januari lalu, saya terus mengggunakkannya untuk membersihkan dan menambak simen di depan dan tepi rumah untuk membuka warung makan kerana mendapat permintaan daripada pelanggan lauk mentah yang dijual sebelum ini,” katanya.

Namun jelasnya, hasrat itu terputus di tengah jalan apabila kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKP 2.0 bermula 13 Januari hingga 26 Januari ini yang juga mungkin dilanjutkan berdasarkan angka kes baharu COVID-19 menunjukkan peningkatan.

“Jadi suka atau tidak, saya dan suami terpaksa reda dan tidak boleh mengeluh sebaliknya berusaha menjadikan PKP 2.0 ini sebagai sumber rezeki sebagaimana PKP terdahulu.

“Kalau PKP lalu saya ‘melahirkan’ perniagaan lauk mentah, saya fikir mengapa tidak PKP 2.0 ini suami pula ‘melahirkan’ perniagaaan penghantaran ikan bakar atau lauk lain berdasarkan permintaan pelanggan.

“Alhamdulillah, kedua-dua perniagaan ini mendapat sambutan menggalakkan sehingga ada kalanya mampu meraih jualan kasar RM3,000 sehari,” katanya.

Menceritakan permintaan yang diterima, Siti Hartika yang mesra di sapa Kak Ika dalam kalangan pelanggannya berkata, dia terpaksa mengehadkan tempahan lauk mentah kepada hanya 20 buah rumah sehari kerana tidak menang tangan menyiapkan tempahan.

“Dulu masa mula-mula saya memang ada menggajikan pekerja namun ada beberapa faktor, kini hanya saya dan dibantu anak menyiapkan tempahan sebab itu terpaksa hadkan jumlah pesanan.

“Namun saya bersyukur kerana setidak-tidaknya rezeki yang ada ini dapat juga saya berkongsi dengan penghantar pesanan atau ‘runner’ yang membuat penghantaran di seluruh Melaka.

Antara lauk mentah siap siang (bersih) yang ditawarkan adalah ikan siakap, ikan merah, ikan kembung, ayam, udang, sotong dan ketam dengan pakej serendah RM30 hingga RM80 mengikut jenis lauk.

Manakala bagi menu ikan bakar pula, ia dijual pada harga serendah RM10 hingga RM20 untuk lauk seperti ikan siakap, kerang, cencaru, ayam, ikan pari, ikan keli selain nasi lemak RM1.50 sebungkus.

Views:

606
Kongsi :
Previous post Pemimpin parti dalam kerajaan PN berpuas hati dengan penjelasan dan perbincangan lanjut mengenai Ordinan Darurat
Next post PKP 2.0: Kepentingan imbangi aspek ekonomi dan kesihatan- Ismail Sabri
Ubah saiz-+=