PKPB: MPAG beri amaran keras kepada peniaga ingkar

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

REMBIA 10 Nov. – Jangan beroperasi melebihi 10 malam atau tindakan tegas akan diambil.

Itu amaran Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) kepada pemilik kedai atau restoran di daerah Alor Gajah sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 9 November hingga 6 Disember depan.

Yang Dipertuanya Mohd Fadhil Hassan berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sekiranya mendapati terdapat peniaga yang cuba mengingkari arahan tersebut.

“Buat masa ini kita belum jumpa lagi peniaga atau pemilik premis yang ingkar. Dalam tempoh beberapa hari PKPB ini kita hanya mengesan kesalahan-kesalahan kecil seperti tidak mencatat nama pelanggan dan tidak mengambil suhu.

“Buat masa ini untuk kesalahan kecil kita hanya memberi arahan dan peringatan terlebih dahulu. Yang paling penting ialah mereka perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) iaitu menjalankan perniagaan dari jam 6 pagi hingga 10 malam sahaja.

“Jika didapati ada yang ingkar dengan menjalankan perniagaan melebihi waktu ditetapkan, kita akan bersama-sama pihak polis untuk mengambil tindakan termasuklah mengeluarkan kompaun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan Deepavali kepada pekerja dan Ahli Majlis MPAG yang beragama Hindu, sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Mohd Fadhil memaklumkan, pihaknya akan membuat pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua arahan sepanjang PKPB dapat dipatuhi di bawah kawasan pentadbiran tersebut.

Views:

745
Kongsi :
Previous post Hari pertama PKPB, dah kena patah balik
Next post Pematuhan SOP COVID-19 keutamaan MIBC
Ubah saiz-+=