Sorting by

×

PLAK TASKA BERDAFTAR TINGKAT KEYAKINAN IBU BAPA DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

AYER KEROH 9 Mei – Langkah proaktif kerajaan memulakan inisiatif pemasangan plak bagi taman asuhan kanak-kanak (taska) berdaftar telah meningkatkan lagi keyakinan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri berkata, perkara itu dimaklumkan sendiri ibu bapa di negeri ini yang menyifatkan sistem terbaharu itu cukup baik kerana dapat memudahkan mereka melihat maklumat setiap taska menerusi imbasan kod QR pada plak.

Jelas beliau, setakat ini sebanyak 150 taska di negeri ini telah berdaftar dan daripada jumlah itu 136 daripadanya yang mendaftar setakat Disember tahun lalu telah menerima plak taska berdaftar.

“Plak Taska Berdaftar ini akan diletakkan di hadapan premis taska, di mana ia turut menyediakan kod QR yang memudahkan ibu bapa untuk melihat maklumat seperti nama pengusaha, tempoh pendaftaran dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kapasiti taska dan lain-lain lagi.

“Pada tahun ini, taska-taska yang berdaftar akan diberikan plak ini oleh pihak JKM dan bermula tahun depan, semua pengusaha taska baharu hendaklah melaksanakan pemasangan plak sendiri mengikut Garis Panduan Pemasangan Plak Taska Berdaftar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Plak Taska Berdaftar Negeri Melaka di Pejabat JKM Melaka Tengah di Wisma CMI, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah JKM Negeri Melaka Halyjah Muhamad; Pengerusi Persatuan Taska dan Pusat Jagaan Kanak-Kanak Negeri Melaka Kenneth William; Ketua Bahagian Kanak-Kanak dan Perintah Khidmat Masyarakat Nurul Fatihah Jasli serta lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Kalsom menggesa semua taska yang belum berdaftar agar segera melaksanakan proses pendaftaran bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan diambil.

Beliau memaklumkan, JKM akan terus menggiatkan usaha untuk memastikan kesemua taska yang ada di Melaka berdaftar dan seterusnya membuat pemantauan berkala bagi memastikan setiap pusat jagaan itu mematuhi standard dan peraturan yang telah ditetapkan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

687
Kongsi :
Previous post HFMD: MELAKA TINGKAT KAWALAN, MINTA IBU BAPA MAIN PERANAN
Next post ‘KECIK’ DIMINTA SERAH DIRI