PM Anwar umum inisiatif tambahan Belanjawan 2023

Masa Membaca:2 Minit, 36 Saat

KUALA LUMPUR, 29 Mac – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan beberapa inisiatif tambahan dalam Belanjawan 2023.

Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 (Belanjawan 2023) bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara hari ini berkata inisiatif tambahan baharu itu melibatkan bantuan Aidilfitri, melanjutkan pelepasan cukai individu dan berkaitan peruntukan kredit perumahan menerusi Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP).

“Memandangkan keadaan hidup rakyat ini masih terasa… saya teliti mana kohort yang tidak peroleh manfaat sebelum ini, masih ada masalah terutama pada bulan Ramadan dan Aidilfitri.

“Maka saya bersetuju salurkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri kepada 850,000 pekebun kecil getah, pesawah dan nelayan sebanyak RM200 lagi, tambahan (kepada) apa yang telah diumumkan. Hal ini akan menelan belanja RM170 juta ringgit,” kata beliau.

Anwar berkata penambahan tersebut merupakan bantuan terbesar yang pernah diberikan kerajaan kepada golongan nelayan, pesawah dan pekebun kecil

Dalam Belanjawan 2023 sebelum ini, kerajaan mengumumkan bantuan sebanyak RM300 sebulan kepada nelayan dan RM200 sebulan untuk pesawah padi untuk tempoh tiga bulan semusim serta menaikkan sumbangan musim tengkujuh daripada RM600 kepada RM800 untuk tempoh empat bulan kepada pekebun kecil getah.

Selain  itu, pasukan sukarelawan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam, sukarelawan polis dan bomba turut menerima ‘duit raya’ apabila kerajaan bersetuju memberikan sagu hati sebanyak RM300.

“Saya sebut tadi ada kategori tidak dapat manfaat sama, kategori ini ialah sukarelawan… Ia berbeza daripada pekerja tetap, polis bantuan itu tidak termasuk, tapi kategori sukarelawan ini 200,000 orang, sehubungan itu menjelang Aidilfitri ini maka saya setuju beri sagu hati kepada mereka RM300,” kata beliau.

Pada masa yang sama, Anwar turut mengumumkan pelanjutkan pelepasan cukai pendapatan individu, sehingga RM8,000 untuk simpanan bersih tahunan dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sehingga 2024.

“Setelah mendengar keresahan disuarakan dan teguran kepada kerajaan (selepas pengumuman semalam), maka saya bersetuju untuk melanjutkan pelepasan cukai SSPN ini. Cadangan ini melibatkan kehilangan hasil kerajaan sekitar RM250 juta setahun, namun memberi manfaat kepada sekitar 400,000 pembayar cukai,” katanya.

Semalam, media melaporkan Timbalan Menteri Kewangan Steven Sim berkata bermula tahun ini, pembayar cukai yang mencarum dalam SSPN tidak lagi layak menuntut pelepasan cukai individu sehingga RM8,000.

Anwar turut mengumumkan mulai 1 April tahun ini, kerajaan akan memperluaskan sasaran Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) terhadap golongan berpendapatan tetap dan tidak tetap, bagi memiliki kediaman pertama yang memberi manfaat kepada golongan B40 dan M40.

Dalam Belanjawan 2023 yang dibentangkan pada 24 Feb lepas, SJKP telah ditambah baik dengan meningkatkan dana jaminan pembiayaan daripada RM3 bilion kepada RM5 bilion untuk membantu pembeli rumah kali pertama, terutamanya mereka yang tidak berpendapatan tetap.

Sementara itu, Anwar berkata kerajaan akan turut memberi keutamaan kepada pengisian jawatan perkhidmatan awam dalam sektor kritikal khususnya bidang kesihatan serta pendidikan dan hal ini dijangka melibatkan perbelanjaan tambahan sehingga RM800 juta ringgit untuk tahun ini.

Menurutnya Belanjawan 2023 termasuk inisiatif baharu ini adalah bukti komitmen Kerajaan Perpaduan untuk membawa perubahan kepada negara Malaysia, selain bukti ketegasan kerajaan untuk menambah baik tadbir urus bagi menjamin menjamin kesejahteraan rakyat keseluruhannya.

Disebabkan tanggungjawab ini besar, Anwar berkata semua pihak perlu memainkan peranan bagi menjayakannya.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1453
Kongsi :
Previous post 46 bekas penghuni penjara jalani Latihan Khas PSH
Next post Usaha menjejaki Aliah Qistina giat dijalankan
Ubah saiz-+=