PN akan muktamadkan agihan kerusi DUN minggu ini

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

PAYA RUMPUT 19 Okt – Agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan dimuktamadkan minggu ini.

Pengerusi PN negeri, Datuk Wira Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, rundingan antara parti komponen PN iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PAS dan Parti Gerakan Rakyat (Gerakan) masih sedang berjalan namun belum diputuskan sebarang keputusan.

“Untuk makluman, rundingan antara ketiga-tiga komponen parti ini sedang berjalan dan Insha-Allah saya yakin pada minggu ini kita akan memuktamadkan senarai kerusi ditandingi oleh PN.

“Kalau saya boleh sebut di sini lebih kurang 50 peratus rundingan kerusi antara PN telah pun pun selesai, baki 50 peratus akan dimuktamadkan pada minggu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan ziarah kasih di Kampung Tanah Merah, Krubong di sini hari ini.

Pengerusi PN Melaka, Datuk Wira Mohd Rafiq Naizamohideen (kanan) menyampaikan bantuan kit makanan kepada Siti Mariam Ithnin, 48, ketika menyantuni rakyat di Kampung Tanah Merah Krubong, Paya Rumput. Foto: MR. Azli

Mohd Rafiq yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri berkata, setakat ini kesemua enam bahagian sudah menyerahkan senarai calon yang berpotensi untuk mewakili Bersatu di negeri ini.

Bagaimanapun katanya, perkara itu akan diperhalusi dan dipertimbangkan oleh pucuk pimpinan parti sebelum senarai penuh dipersembahkan kepada presiden parti.

“Saya ada menerima pelbagai pencalonan daripada bahagian termasuk Srikandi dan Armada yang mana selain calon yang berada dalam struktur tertinggi pimpinan, parti juga akan mengetengahkan calon profesional yang berkelulusan tinggi.

“Calon yang mempunyai semangat berkhidmat untuk rakyat serta calon muda juga akan dipertimbangkan sebagai persiapan PN untuk berhadapan dengan undi 18 pada Pilihan Raya Umum (PRU) 15 nanti.

“Sekarang dalam proses memuktamadkan rundingan kerusi antara komponen PN pada minggu ini dan selepas itu akan berjumpa dengan presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk diperhalusi serta diketengahkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

738
Kongsi :
Previous post Media sosial ‘senjata’ ampuh PRN Melaka
Next post Pejabat operasi MHI banjir
Ubah saiz-+=