Media sosial ‘senjata’ ampuh PRN Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

AYER KEROH 20 Okt. – Platform media sosial akan dimanfaatkan sepenuhnya Puteri dan Pemuda UMNO Melaka bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), 20 November depan.

Ketua Puteri UMNO Melaka, Nurashiqin Alias berkata, platform media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan Tik Tok dianggap pilihan terbaik memandangkan PRN kali ini bakal diadakan dalam suasana norma baharu.

Menurutnya, tumpuan yang akan diberikan dalam platform media sosial ialah memperkenalkan calon yang bertanding, selain berkempen cara baharu bagi menarik sokongan anak muda.

“Dengan cara ini setiap calon UMNO dan Barisan Nasional itu akan lebih dekat kepada pengundi-pengundi khususnya anak muda.

“Selain itu, kita juga akan menggunakan pendekatan video dan poster di media sosial bagi mengetengahkan manifesto yang akan diberikan.

“Kita faham anak muda sekarang sudah tidak mahu tahu calon itu dari parti mana, tetapi mereka nak tahu apa yang ditawarkan untuk masa depan mereka,” katanya.

Justeru, katanya, jentera Pemuda dan Puteri UMNO di setiap bahagian kini sudah bersiap siaga untuk memulakan ‘perang’ media sosial sebaik sahaja tarikh berkempen dibenarkan 8 November nanti.

“Sekarang semua gerak kerja sedang sedang disusun dan dirancang dengan teliti termasuk persiapan dari segi video dan sebagainya.

“Insya-Allah bila tibanya tarikh berkempen awal November lagi kita sudah bersiap sedia untuk meraih sokongan rakyat negeri ini,” ujarnya.

Nada sama turut disuarakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kota Melaka, Mohd Noor Helmy Abdul Halem yang menganggap platform media sosial cukup berkesan dalam membantu parti mendapatkan sokongan anak muda di negeri ini.

MOHD NOOR HELMY

Katanya, pengisian bagi menghadapi perang media sosial bagaimanapun tidak lagi ke arah cara kuno iaitu dengan menyerang peribadi atau kelemahan pihak lawan.

Sebaliknya, pengisian yang diterapkan kali ini lebih ke arah politik matang.

“Pengisian di media sosial itu lebih tertumpu kepada apa yang akan kita buat, menjawab soalan dan isu serta apa janji yang boleh diberi kepada masyarakat.

“Kali ini, kita cuba untuk tidak lagi bercerita mengenai kelemahan-kelemahan orang lain kerana orang ramai pun dah tak nak tahu semua itu.

“Jadi, kita cuba pergi ke arah politik matang yang lebih memfokuskan kepada apa yang boleh kita tawar kepada rakyat negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

779
Kongsi :
Previous post Saya akur kepada pucuk pimpinan parti – Mohd Rafiq
Next post PN akan muktamadkan agihan kerusi DUN minggu ini
Ubah saiz-+=