PN kena kompaun RM20,000, penganjur program Najib dikompaun RM4,000

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan dua kompaun berjumlah RM20,000 dan RM4,000 kepada penganjur program yang melibatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam satu kenyataan, KKM memaklumkan kedua-dua kompaun itu dikeluarkan berikutan kegagalan penganjur memastikan pematuhan penjarakan fizikal oleh orang ramai yang hadir ke program tersebut.

Bagaimanapun, kata kenyataan itu, hasil siasatan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka, tiada aktiviti perhimpunan dikesan dalam dua program itu, sebaliknya ia lebih berbentuk sesi ‘walkabout’.

“Kompaun bernilai RM20,000 ditawarkan kepada PN Melaka sebagai penganjur perhimpunan yang melibatkan kehadiran Muhyiddin.

“Tawaran kompaun telah dikeluarkan di bawah Peraturan 16 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

“Manakala satu lagi tawaran kompaun bernilai RM4,000 dikeluarkan kepada individu yang bertindak sebagai penganjur program yang dihadiri Najib,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, KKM turut menegaskan pihaknya dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus membuat pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“KKM tidak akan teragak-agak mengeluarkan kompaun kepada mana-mana individu atau pertubuhan perbadanan yang melanggar SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“KKM menasihati agar masyarakat terus patuh kepada SOP dan menjalankan peranan masing-masing dengan penuh tanggungjawab dalam memerangi pandemik COVID-19 di Malaysia,” tegasnya.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin sebelum ini memaklumkan sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya tidak dibenarkan berkuat kuasa 25 Okt hingga 27 Nov.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

594
Kongsi :
Previous post PRN Melaka: PAS guna lambang Perikatan Nasional
Next post Enam penuntut UPNM didapati bersalah sebabkan kematian Zulfarhan
Ubah saiz-+=