Polis ambil keterangan Zul Huzaimy keluar kenyataan berbaur perkauman, ugutan

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

KUALA LUMPUR, 15 Nov – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan sudah mengambil keterangan pelakon Zul Huzaimy semalam, susulan kenyataannya yang disyaki berbaur perkauman dan ugutan.

Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin dalam kenyataan hari ini berkata PDRM masih menunggu laporan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat.

Sebelum ini, media melaporkan pelakon berkenaan dikatakan mengeluarkan kenyataan yang didakwa berbaur perkauman dan ugutan menerusi penularan satu video berdurasi dua minit 20 saat semasa dalam satu majlis di Kemaman, Terengganu, pada 4 Nov lepas.

Pelakon berusia 43 tahun itu kemudian menerusi hantaran video yang dimuat naik di laman Instagram miliknya semalam, memohon maaf atas ucapan yang didakwanya disalah anggap.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata pihaknya menerima laporan daripada Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli hari ini terhadap dua individu iaitu Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Sik Mohd Shahiful Mhd Nasir dan Zul Huzaimy, berkaitan kenyataan mereka dalam video masing-masing yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

Beliau berkata hasil semakan mendapati satu kertas siasatan dibuka berhubung video tular membabitkan Mohd Shahiful di Alor Setar, Kedah dan disiasat mengikut Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Satu lagi kertas siasatan dibuka susulan laporan polis di Chukai, Kemaman, Terengganu melibatkan isu video tular Zul Huzaimy yang disiasat di bawah Seksyen 506, 505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beberapa hari lepas, tular rakaman video memaparkan Mohd Shahiful dalam ceramah kempennya mengeluarkan hukum sesiapa mengundi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan masuk neraka.

Susulan penyebaran video berdurasi 28 saat itu, beliau menerima kritikan daripada pelbagai pihak dan semalam Mohd Shahiful da dalam satu kenyataan, memohon maaf dan menarik balik kenyataannya sebelum membuat permohonan untuk berehat daripada jawatan dalam parti untuk tempoh akan dimaklumkan kelak.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

6111
Kongsi :
Previous post 76 mangsa banjir di Melaka ditempatkan di tiga PPS
Next post Tambah kerisik baru ada ‘umph’
Ubah saiz-+=