Polis buru remaja lelaki 17 tahun terbabit kes samun

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

JASIN 12 Jun – Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun kini diburu polis berhubung kes samun dan mendatangkan kecederaan terhadap pemilik kedai runcit di Taman Bistari Jasin, di sini, petang semalam.

Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, sehubungan itu pihaknya meminta orang ramai yang mengetahui berkaitan remaja terbabit tampil menyalurkan maklumat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman

Menurutnya, remaja yang masih bebas itu dipercayai melakukan samun bersama rakannya yang ditangkap awal pagi tadi.

“Remaja 17 tahun itu beralamat di No 71-3 Jalan Haji Hamid KM 12 Kampung Bukit Larang Pernu,” katanya dihubungi hari ini.

Mohd Sukri berkata, terdahulu polis menerima laporan daripada peniaga kedai runcit berusia 55 tahun memaklumkan premisnya didatangi dua lelaki tidak dikenali dalam kejadian pada jam 5.46 petang semalam.

“Dua suspek itu menaiki motosikal dan memakai topi keledar dipercayai bertindak mencederakan pengadu (mangsa) sebelum melarikan telefon bimbitnya.

“Bertindak atas aduan pengadu, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin dengan bantuan Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri melakukan serbuan di sebuah rumah di Jalan Segenting, sebelum menahan seorang lelaki berusia 30 tahun pada jam 1.30 pagi tadi,” katanya.

Mohd Sukri berkata, dalam serbuan itu polis merampas beberapa barangan termasuk beg galas dan telefon bimbit serta motosikal jenis Yamaha Y15ZR.

“Semakan mendapati suspek mempunyai empat rekod lampau membabitan jenayah serta dadah manakala ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

733
Kongsi :
Previous post Kerajaan belum cadang beri vaksin kepada pelajar SPM 2021
Next post Kerajaan bakal tampung subsidi minyak, minyak masak sehingga RM8 bilion tahun ini- Tengku ZafruL
Ubah saiz-+=