Polis cari Eric Chia

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

PAYA RUMPUT 11 Nov. – Polis Melaka membuat laporan berhubung penularan satu klip video dipercayai disebarkan pengguna Facebook, ‘Eric Chia’ yang didakwa bertujuan mengelirukan dan memalukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik negeri Superintendan Hasan Basri berkata, video berdurasi 30 saat itu mula tersebar lewat petang semalam yang telah memutar belitkan fakta sebenar kejadian sehingga mengundang kemarahan rakyat.

“Sehubungan itu, satu laporan polis dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau hukuman penjara tidak melebihi satu (1) tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

KETUA Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik negeri Superintendan Hasan Basri

“Sekiranya wujud bukti berlakunya fitnah, siasatan juga akan dibuka mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan,” katanya ketika ditemui media malam tadi.

Mengulas lanjut Hasan berkata, video dipercayai disebarkan ‘Eric Chia’ di media sosial Facebook itu mempersoalkan saman dikeluarkan terhadapnya oleh anggota polis di Jalan Dato Md Zain, di sini, jam 11.08 pagi semalam.

“Dalam kejadian itu, anggota polis berpangkat sarjan telah menahan sebuah kereta jenis Hyundai Sonata dipandu seorang lelaki yang membawa penumpang wanita atas kesalahan pemandu menggunakan telefon ketika memandu.

“Kesalahan itu telah dilihat anggota pemerhati (OP) kira-kira 250 meter sebelum lokasi sekatan jalan raya (SJR) dan melaporkannya kepada sarjan berkenaan untuk diambil tindakan,” katanya.

SURAT saman yang dikeluarkan.

Bagaimanapun katanya, semasa kereta tersebut ditahan pemandu lelaki itu menafikan menggunakan alat komunikasi walaupun telah dijelaskan OP melihatnya menggunakan telefon bimbit dengan tangan kiri semasa memandu.

Semasa saman dikeluarkan jelasnya, wanita yang berada di tempat duduk penumpang hadapan telah merakam video sarjan terbabit yang sedang mengeluarkan saman.

“Ketika saman diserahkan, pemandu terbabit enggan menandatangani notis saman menyebabkan sarjan terbabit terpaksa mencatatkan ETT (Enggan Tanda Tangan) pada notis saman sebelum menyerahkannya kepada pemandu terbabit.

“Namun, pada jam 7.17 malam, polis mengenalpasti penularan video sarjan terbabit yang dipercayai disebarkan seorang lelaki menggunakan nama ‘Eric Chia’ di media sosial Facebook yang telah memutar belitkan kenyataan.

“Status Facebook berkenaan diputar belit dengan mengatakan sarjan tersebut mengeluarkan saman kerana penumpang sebelah kiri menggunakan alat komunikasi,” katanya.

Sehubungan itu, polis menasihati orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya merakam dan menyebarkan video yang boleh mengelirukan orang ramai atau berdepan tindakan undang-undang.

Views:

1408
Kongsi :
Previous post PKPB: Lebuh raya PLUS lengang
Next post Pemandu ‘lalok’ rempuh SJR
Ubah saiz-+=