Pemandu ‘lalok’ rempuh SJR

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

ALOR GAJAH 11 Nov. – Tindakan seorang pemandu lori yang dipercayai memandu dibawah pengaruh dadah sehingga terlanggar papan tanda sekatan jalan raya (SJR) OP COVID-19 membawa padah apabila dia ditahan di Plaza Tol Simpang Ampat, di sini, semalam.

Lelaki berusia 26 tahun itu yang memandu lori muatan sangkar ayam ditahan kira- kira jam 1.30 petang.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, ketika ditahan lelaki terbabit dikatakan dalam perjalanan dari Alor Gajah menghala ke Rawang, Selangor.

Beliau berkata, sebaik tiba dilokasi kejadian yang juga kawasan SJR OP COVID-19, tayar belakang sebelah kiri lori dipandu lelaki berkenaan dikatakan terlanggar papan tanda SJR lalu terjatuh.

“Susulan itu pemandu lori ditahan untuk pemeriksaan sebelum diminta melakukan ujian saringan air kencing.

Bagaimanapun hasil ujian saringan awal mendapati dia positif dadah dipercayai jenis Methamphetamine,” katanya.

Arshad berkata, lelaki terbabit kemudian diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Alor Gajah untuk tindakan dibawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Dia juga akan disiasat mengikut Rule 10 LN 16/59  selain akan direman bagi membantu siasatan lanjut.

”Saya ingin mengingatkan pengguna jalan raya agar bersabar dan tindakan memandu secara melulu bukan sahaja membahayakan petugas barisan hadapan malah pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

Views:

584
Kongsi :
Previous post Polis cari Eric Chia
Next post Pengusaha TASKA lega dibenar beroperasi
Ubah saiz-+=