Pengusaha TASKA lega dibenar beroperasi

Masa Membaca:2 Minit, 31 Saat

KLEBANG 11 Nov. – Pengusaha Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) di negeri ini menarik nafas lega apabila Melaka menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) semalam, memberi kebenaran beroperasi selepas mendapat kebenaran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Presiden Persatuan Pengasuh Negeri Melaka Kenneth William John berkata, keputusan pantas itu nyata menunjukkan keprihatinan tinggi kerajaan negeri yang dipimpin Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali yang bukan sahaja mengambil berat terhadap pengusaha TASKA bahkan turut mengambil kira kesusahan ibu bapa yang perlu keluar bekerja sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Terus-terang pada mulanya saya sudah mula risau, tetapi bila diumumkan kerajaan negeri, kita memang bersyukur sangat. Bukan sahaja pengusaha TASKA berasa lega, ibu bapa juga sama.

PRESIDEN Persatuan Pengasuh Negeri Melaka Kenneth William John

“Pada saya tidak logik untuk menutup operasi TASKA kerana sama ada suka atau tidak, TASKA merupakan antara sektor perkhidmatan penting. Bayangkanlah, sepanjang PKPB, ekonomi masih berjalan, jadi di mana ibu bapa mahu menghantar anak-anak mereka?

“Satu jalan sahaja yang mereka ada iaitu menghantar kepada pengasuh tidak berdaftar atau jiran terdekat mereka. Tetapi adakah anda yakin mereka tidak akan risau? Saya percaya mereka akan lebih sukar untuk fokus di tempat kerja dalam situasi itu.

“Jadi, kita sangat berterima kasih kepada kerajaan negeri dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana begitu prihatin dengan nasib rakyat. Boleh dikatakan Melaka menjadi antara negeri terpantas memberikan kebenaran ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).

Mengulas lanjut, beliau berkata, pengumuman tersebut juga dapat mengelakkan kira-kira 30 peratus pengusaha di negeri ini daripada gulung tikar sekiranya TASKA tidak dibenarkan beroperasi sehingga awal bulan depan.

“Bila dengar sahaja pengumuman TASKA diarahkan tutup, ramai pengusaha mengadu kepada saya dan ada antara mereka mendakwa kehilangan pelanggan apabila ada ibu bapa memilih untuk menghantar anak mereka kepada pengasuh tidak berdaftar, jika TASKA tidak beroperasi.

“Di Melaka sahaja kita ada 87 TASKA berdaftar di bawah JKM yang mana saya percaya jika tiada kebenaran beroperasi lebih 30 peratus pengusaha akan gulung tikar kerana terus-terang ekonomi pengusaha kini semakin merudum,” ujarnya.

Sementara itu, pengusaha TASKA Iman Mutiara di Taman Nirwana, di sini turut merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri yang memberi nyawa kedua kepada pengusaha sepertinya untuk meneruskan operasi seperti biasa.

Noramizah Ahmad, 49 berkata, sejak wabak COVID-19 melanda, ramai pengusaha yang terkesan apabila perniagaan mula merudum dan ada yang terpaksa ditutup kerana tidak mampu lagi menanggung kos yang tinggi.

NORAMIZAH (kanan) dan pembantunya.

Justeru, apabila ia dibenarkan beroperasi dengan syarat perlu mendapat kebenaran JKM, dia yang sudah 12 tahun mengusahakan TASKA tidak menunggu lama untuk membuat permohonan dan beroperasi seperti biasa.

“Boleh dikatakan kebanyakan anak-anak yang dihantar ke taska ini merupakan anak petugas barisan hadapan. Jadi, bukan kami sahaja yang lega, tetapi ibu bapa juga gembira dengan keputusan tersebut.

“Tidak tahu bagaimana untuk saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Ketua Menteri dan semua yang terlibat dengan keputusan ini. Saya berharap akan ada sinar untuk semua pengusaha TASKA di masa akan datang,” katanya.

Views:

1521
Kongsi :
Previous post Pemandu ‘lalok’ rempuh SJR
Next post Lebih baik terima SOP COVID-19 terkini – Ab Rauf
Ubah saiz-+=