Polis rampas mercun bernilai RM45,000, jual tanpa permit

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

AYER KEROH 18 April – Tujuh lelaki terlibat dalam aktiviti penjualan mercun tanpa permit ditahan dalam operasi penguatkuasaan mercun bermula 28 Mac hingga 26 April lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata semua lelaki berusia antara 27 hingga 43 tahun itu ditahan di sekitar negeri ini kerana menjual mercun tanpa mendapatkan kelulusan permit daripada polis.

Katanya, kebanyakan mercun dirampas dijual di bazar Ramadan dan disimpan di kediaman mereka.

“Susulan itu, polis merampas sebanyak 1,703 mercun jenis ‘happy boom’ pelbagai jenis; 76 paket mercun bola dan satu telefon bimbit.

“Semua rampasan berkenaan dianggarkan bernilai RM45,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa bersama pengamal media di Dewan Parameswara Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Zainol berkata dalam tempoh sama, pihaknya menerima sebanyak 287 permohonan permit membabitkan penjualan mercun di Melaka.

“Daripada jumlah itu, 220 permohonan diluluskan manakala baki permohonan ditolak berikutan tidak memenuhi kriteria dan syarat ditetapkan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Zainol berkata susulan amaran dikeluarkan bagi penguatkuasaan dikenakan terhadap individu yang bermain mercun selepas jam 12 tengah malam, pihaknya sentiasa menjalankan pemantauan berterusan di kawasan perumahan.

“Bagaimanapun setakat ini, kita tidak menerima aduan berhubung kejadian itu.

“Justeru, saya menasihatkan masyarakat supaya tidak menimbulkan keresahan atau kacau ganggu orang lain kerana sekiranya ada mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 13 Akta Kesalahan Kecil 1995 (Akta 336),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

734
Kongsi :
Previous post Tiga individu ditahan dipercayai dera, rogol budak 7 tahun
Next post Perikanan Melaka batal 500 lesen nelayan ‘ali baba’
Ubah saiz-+=