Polis siasat isu bantuan mangsa banjir di Segamat dibangkitkan ahli politik

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

JOHOR BAHRU, 10 Jan – Polis Diraja Malaysia sedang melakukan siasatan berhubung isu pemberian bantuan mangsa banjir di Daerah Segamat yang dibangkitkan oleh seorang ahli politik dan disiarkan dalam satu sidang media secara langsung di platform media sosial semalam (kelmarin).

Pemangku Ketua Polis Johor Datuk Khaw Kok Chin berkata pihaknya melakukan siasatan susulan laporan polis yang diterima berhubung siaran langsung itu.

“Dalam sidang media tersebut, ahli politik berkenaan telah menyentuh isu berkaitan pemberian bantuan kepada mangsa banjir di Segamat.

Kerajaan Negeri Johor melalui pejabat-pejabat daerah telah mengeluarkan tatacara, prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan bagi tujuan penyelarasan dan keselamatan demi kebaikan semua pihak yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini (semalam).

Menjelaskan lebih lanjut, Khaw berkata pihaknya tidak beranggapan bahawa mana-mana sukarelawan daripada badan bukan kerajaan atau parti politik yang memberikan bantuan adalah merupakan suatu kesalahan undang-undang.

“Pihak polis akan menjalankan siasatan mengikut peruntukan undang-undang secara adil dan saksama untuk mengetahui sama ada terdapat sebarang pelanggaran undang-undang atau tidak,” katanya.

Khaw menjelaskan susulan itu, pihaknya bertanggungjawab untuk menjalankan siasatan atas laporan polis yang diterima dan hasil siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara sebelum pertuduhan dibuat.

Beliau pada masa sama menasihati orang ramai agar tidak menyalahgunakan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan seperti media sosial atau platform lain untuk melakukan sebarang perbuatan yang menyalahi undang-undang.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja mengganggu- gugat ketenteraman dan keselamatan awam berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan iaitu mengingkari suatu perintah yang diisytiharkan oleh seorang penjawat awam, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1168
Kongsi :
Previous post Ribut salji landa bandar Pakistan, operasi menyelamat diteruskan
Next post SPRM Johor tahan pengarah urusan syarikat, jurutera bantu siasatan tuntutan palsu
Ubah saiz-+=