Polis siasat video tular sekumpulan pekerja asing merayau pakai gelang ‘pink’

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

AYER KEROH 26 Mei – Polis mengesahkan menerima laporan berhubung video tular pekerja warga asing yang didakwa memakai gelang merah jambu di bawah pengawasan (PUS) merayau di sekitar Taman Ayer Keroh Height semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan polis di Balai Polis Ayer Keroh pada jam 2.35 petang semalam berhubung kejadian itu yang ditularkan menerusi aplikasi Whatsapp.

Katanya, berdasarkan rakaman video itu, sekumpulan pekerja terbabit dipercayai sedang menjalani tempoh kuarantin selepas Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) menjalankan ujian calitan terhadap mereka di kilang tempat mereka bekerja di Ayer Keroh pagi semalam.

“Berdasarkan rakaman video itu, sekumpulan pekerja warga asing terbabit didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang tidak membenarkan mana-mana individu keluar dari kediaman ketika menjalani kuarantin.

“Berikutan itu, polis membuka kertas siasatan bagi membolehkan siasatan dilakukan terhadap individu yang dirakam iaitu sekumpulan pekerja asing terbabit mengikut Seksyen 15 Perenggan 22 (B) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan) 2021 Akta 342,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, berikutan itu pihaknya memanggil pihak pengurusan kilang terbabit bagi siasatan lanjut

“Pihak polis telah memanggil Pengurus Sumber Manusia kilang tersebut untuk hadir ke IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Melaka Tengah bagi tujuan rakaman percakapan dan mendapatkan butiran lanjut pekerja terlibat serta membantu siasatan.

“Siasatan lanjut turut mendapati kesemua pekerja berkenaan dipakaikan gelang merah jambu bagi menjalani kuarantin di kediaman masing-masing dan masih keputusan hasil ujian saringan COVID-19,” katanya.

Terdahulu, tular rakaman video di aplikasi Whatsapp memaparkan beberapa pekerja warga asing membuat pembelian panik di kedai runcit sekitar Taman Ayer Keroh Height selepas mereka dipakaikan gelang merah jambu serta diarahkan menjalani kuarantin.

Sebelum ini Melaka Hari Ini (MHI) turut melaporkan empat kilang termasuk sebuah kilang makanan di kawasan perindustrian Ayer Keroh diarah tutup selepas berlaku peningkatan jangkitan indeks COVID-19 membabitkan pekerja tempatan dan warga asing.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

808
Kongsi :
Previous post COVID-19 : Dua lagi warga emas meninggal dunia di Melaka
Next post Polis sahkan operasi pusat kasino Genting Highlands tutup sepenuhnya
Ubah saiz-+=