289648190_447756930517566_7709367504221692283_n

Polis tunggu arahan lanjut berhubung dua kes buli di Perak

KUALA KANGSAR, 12 Julai – Polis masih menunggu arahan selanjutnya daripada Jabatan Peguam Negara berhubung dua kes buli melibatkan pelajar sekolah di negeri ini.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata siasatan bagi kedua-dua kes masing-masing di daerah Hilir Perak dan Kuala Kangsar itu telah selesai dan pelajar terbabit dibebaskan dengan jaminan polis.

“Kertas siasatan masih di bawah Jabatan Peguam Negara. Saya percaya satu keputusan akan dibuat tidak lama lagi ke atas semua kes pelajar yang terlibat dengan kegiatan buli ini,” katanya ketika ditemui pemberita semasa mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar di Kompleks Perumahan PDRM Kuala Kangsar di sini hari ini.

Pada 23 Jun lepas, polis menahan 10 pelajar sebuah asrama sekolah menengah di Teluk Intan berhubung kes buli sehingga mendatangkan kecederaan membabitkan seorang pelajar lelaki tingkatan dua di asrama itu.

Hasil siasatan awal mendapati mangsa dipukul secara beramai-ramai serta dicederakan dengan menggunakan seterika panas dipercayai berpunca akibat cemburu terhadap mangsa yang berbual dengan seorang pelajar perempuan yang juga teman wanita kepada seorang daripada suspek.

Pada Disember tahun lepas, seorang pelajar sebuah sekolah berasrama menjadi mangsa buli sekumpulan pelajar lelaki di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah sehingga tular di media sosial yang memaparkan mangsa dikepung dan ditumbuk di bahagian perut.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

81
lembu mati Previous post 11 lembu ditemukan mati di Kampung Sungai Lekar di Kuala Nerus
292447720_5513744948648834_1398405075744130601_n Next post Penipuan haji: Polis terima 72 laporan libatkan kerugian hampir RM4 juta