Pondok berlantai tanah tempat berlindung

Masa Membaca:2 Minit, 21 Saat

TANJUNG BIDARA 1 Dis.  – Pondok yang dibina daripada papan dan zink buangan serta berlantaikan tanah dan papan lapis adalah tempat berlindung enam sekeluarga sejak dua tahun lalu.

Setiap kali hujan lebat, keluarga terbabit terpaksa bertarung dengan kedinginan akibat tempias yang menerobos masuk ke dalam pondok yang berlubang di kebanyakan bahagian bumbung dan dinding.

Itulah kepedihan yang terpaksa dilalui Ahmad Firdaus Mohamad, 37, dan isteri serta empat anak berusia tujuh bulan hingga tujuh tahun, termasuk anak sulung yang dalam kategori orang kurang upaya (OKU).

Sejak dua tahun lalu, Ahmad Firdaus mengumpulkan bahan buangan itu semata-mata untuk membina tempat penginapan keluarga dalam kebun getah di Kampung Londang, Masjid Tanah, di sini.

AHMAD Firdaus dan anggota keluarga menerima bantuan MAIM. Foto Din Ahmad

Desakan hidup membuatkan dia terpaksa menjadikan dinding dan pintu yang tidak digunakan lagi sebagai bahan untuk membina gerobok itu semata-mata bagi memastikan dia dan isteri, Nurul Amalina Brenjen Abdullah, 30, serta empat anak berusia antara tujuh bulan hingga tujuh tahun mampu meneruskan kehidupan.

Dengan pendapatan tidak menentu sekadar mengambil upah menoreh getah dan kerja kampung, Ahmad Firdaus dan anggota keluarganya terpaksa bersabar sementara menunggu gerobok berkenaan menjadi rumah impian yang sempurna.

“Saya kumpulkan bahan buangan untuk membina pondok, selain memasang khemah berlantaikan tanah untuk memastikan anggota keluarga dapat berlindung daripada panas dan hujan.

“Kami memilih sudut di kebun getah milik ibu saya untuk membina pondok ini dan dari semasa ke semasa saya menambah baiknya tetapi saya tidak mampu menyimen lantai tanah dan terpaksa mengalaskannya dengan papan lapis yang saya jumpa,” katanya ketika ditemui di pondok itu semalam.

Ahmad Firdaus menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara Datuk Md Rawi Mahmud yang menyampaikan sumbangan wang tunai dan bahan makanan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Yang turut hadir, Penyiasat MAIM, Muhammad Haikal Abdul Wahid; Pegawai Pusat Zakat Alor Gajah, Maz Faizal Ismail; Penghulu DUN Tanjung Bidara Azizan Daud; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Londang Datuk Abdul Mutallif Che Mat dan Sidang kampung itu, Awaluddin Jonid.

Ahmad Firdaus berkata, walaupun terpaksa bertarung dengan tempias ketika hujan lebat, dia dan anggota keluarga, termasuk anak sulung yang orang kurang upaya (OKU), terpaksa terus berteduh di gerobok berkenaan.

Md Rawi berkata, Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Tanjung Bidara membantu keluarga terbabit disenaraikan sebagai penerima Rumah Sejahtera Rakyat milik kerajaan negeri.

“Sebagai langkah sementara sebelum rumah itu dibina, MAIM akan membina tandas dan bilik mandi di pondok sedia ada, selain memberikan bantuan makanan bulanan,” katanya.

Beliau berkata, Japerun Tanjung Bidara akan menggesa kerajaan negeri supaya segera membina rumah berkenaan kerana keadaan Ahmad Fairuz dan keluarganya yang terpaksa berlindung dalam pondok yang serba kekurangan itu amat menyedihkan.

Katanya, beliau yakin rumah itu akan segera direalisasikan berdasarkan kedaifan keluarga terbabit yang terpaksa bertarung dengan kedinginan malam, selain nyamuk dalam kebun getah.

Views:

1218
Kongsi :
Previous post Penemuan vaksin COVID-19 faktor utama harga emas jatuh
Next post Nelayan akur peraturan baharu perahu ungu
Ubah saiz-+=