Nelayan akur peraturan baharu perahu ungu

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

TANJUNG BIDARA 1 Dis. – Nelayan di negeri ini sanggup mengeluarkan kos sehingga RM400 demi mengecat perahu mereka dengan warna ungu, asalkan boleh turun ke laut.

Walaupun kos berkenaan agak tinggi, nelayan tidak menyifatkannya sebagai faktor membebankan kerana yang lebih utama ialah mereka tidak menghadapi tindakan undang-undang oleh pegawai penguat kuasa jabatan itu ketika berada di tengah laut jika gagal mematuhinya.

Mereka menyifatkan peraturan baharu itu bukan masalah besar, terutama bagi nelayan yang baharu memperoleh lesen perahu daripada jabatan itu selepas menunggu lebih 10 tahun untuk mendapatkannya.

Abdul Rahim Azali, 34, berkata dia terpaksa mengeluarkan kos RM300 untuk mendapatkan 10 kilogram cat ungu khusus untuk perahu gentian kacanya yang baharu diberikan lesen perahu minggu lalu.

“Cat itu tidak dijual dalam tin, sebaliknya peniaga bahan binaan menjualnya dengan cara menimbangnya RM30 sekilogram dan saya membeli 10 kilogram untuk memastikan perahu saya dicat ungu.

“Alhamdulillah, minggu lalu saya mendapat lesen perahu daripada Jabatan Perikanan negeri selepas mengemukakan permohonan lebih 10 tahun lalu dan membuat beberapa rayuan,” katanya ketika ditemui di pangkalan nelayan Kampung Pengkalan Balak, di sini hari ini.

Dia berkata, cat untuk bahan gentian kaca lebih mudah dan cepat kering berbanding cat biasa tetapi harganya lebih tinggi berbanding cat biasa.

MOHD Ali mengecat warna ungu perahu gentian kaca di pangkalan nelayan Kampung Pengkalan Balak, Masjid Tanah. – Foto Din Ahmad

Mohd Ali Abu Bakar, 50, berkata dia juga terpaksa mengeluarkan kos seumpama itu bagi menukar cat perahunya yang sedia ada daripada biru kepada ungu untuk mematuhi peraturan baharu Jabatan Perikanan.

“Tidak mengapa saya terpaksa mengeluarkan kos sebanyak RM300 asalkan dapat turun ke laut mencari rezeki untuk isteri dan anak,” katanya.

Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Mohd Fauzi Solehon dilaporkan berkata, perahu nelayan berdaftar di seluruh Melaka diwajibkan diwarnakan ungu menjelang 2022 bagi memudahkan langkah penguatkuasaan undang-undang berkaitan operasi nelayan dan sumber perikanan.

Ia dipilih bagi membezakan perahu nelayan di negeri ini dengan negeri lain, selain memudahkan penguatkuasaan undang-undang oleh Jabatan Perikanan negeri.

Nelayan diwajibkan mewarnakan perahu masing-masing dengan warna itu mulai sekarang bagi memastikan warna perahu di seluruh negeri ini mampu diseragamkan menjelang 2022.

Ini kerana setiap negeri mempunyai satu warna yang ditetapkan untuk memudahkan perahu dikenal pasti berasal dari negeri mana, selain memudahkan pihak berkuasa membuat penguatkuasaan dan pemantauan di laut dan dalam usaha memelihara sumber perikanan, katanya.

Views:

1533
Kongsi :
Previous post Pondok berlantai tanah tempat berlindung
Next post Kanak-kanak perempuan cedera terjatuh dari jejambat
Ubah saiz-+=