PRK Batu Sapi, PRN Sarawak tidak dapat dielak – PM

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

KUALA LUMPUR 31 Okt. – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi pada 5 Dis ini dan Pilihan Raya Negeri Sarawak yang berkemungkinan diadakan pada bila-bila masa, tidak dapat dielakkan kecuali jika darurat diisytiharkan di Batu Sapi dan Sarawak.

Meskipun khuatir dengan peningkatan kes COVID-19 ketika ini, perdana menteri berkata PRK Batu Sapi itu mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas terdapat kekosongan bagi sesuatu kerusi Parlimen selari  Fasal 1 Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan.

Jelasnya, Fasal 4 Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak juga memperuntukkan pilihan raya negeri hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri.

“Tetapi apa boleh buat kerana itu adalah kehendak dalam Perlembagaan Persekutuan maka kita terpaksa mengadakan pilihan raya.

“Kecuali jika darurat diisytiharkan di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan di Batu Sapi dan Sarawak, bolehlah kita tangguhkan dahulu kedua-dua pilihan raya ini sehingga COVID-19 berakhir,” katanya dalam perutusan khas mengenai situasi semasa COVID-19 yang disiarkan di stesen-stesen televisyen tempatan.

Muhyiddin berpandangan berdasarkan situasi semasa COVID-19, pilihan raya tidak sepatutnya diadakan langsung pada masa ini.

Malah katanya, dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikannya hari ini, Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Ikmalrudin Ishak memaklumkan ramai petugas pilihan raya menyatakan rasa bimbang untuk bertugas di PRK Batu Sapi nanti kerana takut terkena jangkitan COVID-19.

Beliau berkata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah juga menyatakan kebimbangan berhubung keadaan di kawasan-kawasan pedalaman negeri Sarawak yang tidak mempunyai kemudahan kesihatan yang lengkap bagi menampung kemungkinan peningkatan kes positif COVID-19 sekiranya PRN Sarawak terpaksa diadakan.

“Keupayaan frontliners dan logistik kesihatan juga akan menjadi semakin terkekang dengan keadaan geografi negeri Sarawak yang luas dan sesetengah kawasan amat sukar untuk diakses. Ini tidak mengambil kira kos tambahan yang akan ditanggung oleh kerajaan dan kos ke atas ekonomi jika penularan jangkitan COVID-19 berlaku dengan mendadak selepas pilihan raya,” tambahnya.

Muhyiddin berkata ada pihak mencadangkan supaya prosedur operasi standard (SOP) pilihan raya diperketatkan, namun beliau memahami terdapat banyak kekangan yang dihadapi SPR untuk menggubal  SOP yang benar-benar berkesan dalam memastikan tiada jangkitan langsung semasa pilihan raya diadakan.

Views:

1539
Kongsi :
Previous post PM ajak semua ahli politik sokong Belanjawan 2021
Next post Melaka ‘sunyi’
Ubah saiz-+=