PM ajak semua ahli politik sokong Belanjawan 2021

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

KUALA LUMPUR 31 Okt. – Perdana Menteri mengajak semua Ahli Parlimen mengetepikan perbezaan politik bagi menyokong Belanjawan 2021 kerana pelbagai peruntukan disediakan dalam menghadapi COVID-19 demi kepentingan rakyat dan memulihkan ekonomi negara.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata satu bentuk persefahaman boleh dirangka dalam kalangan Ahli Parlimen untuk membolehkan belanjawan yang akan dibentang pada 6 Nov itu diluluskan dengan sokongan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

“Marilah kita letakkan kepentingan rakyat mengatasi segala kepentingan lain. InsyaAllah, dalam belanjawan yang akan dibentangkan nanti, kerajaan akan mengumumkan inisiatif-inisiatif yang bakal meringankan beban yang ditanggung oleh saudara dan saudari sekalian dalam menghadapi zaman yang sukar ini,” katanya dalam perutusan khas mengenai situasi COVID-19 di sini hari ini.

Perutusan berkenaan disiarkan secara langsung menerusi saluran televisyen termasuk Bernama TV dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Beliau juga memberi jaminan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan terus mencari jalan terbaik untuk mengurus krisis besar yang sedang negara hadapi pada masa ini.

“Matlamat kita hanyalah satu iaitu untuk menang dalam melawan COVID-19 dan memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat sentiasa terbela,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata kerajaan memandang serius peningkatan mendadak kes COVID-19 dalam negara ketika ini dan kesannya kepada rakyat, ekonomi dan barisan hadapan.

Katanya, dalam mengurus gelombang ketiga pandemik itu, kerajaan mengambil pendekatan mengimbangi antara kepentingan melindungi nyawa rakyat dan keperluan menjamin kelangsungan hidup rakyat.

Ia tegasnya dengan memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) bagi kegiatan sosial, pendidikan, keagamaan, sukan dan lain-lain untuk mengurangkan pergerakan orang ramai dan memutuskan rantaian jangkitan.

“Tetapi pada masa yang sama, kita benarkan kegiatan ekonomi untuk diteruskan tertakluk kepada pematuhan SOP yang ketat untuk memastikan perniagaan dan industri terus beroperasi,” kata beliau.

–BERNAMA

Views:

354
Kongsi :
Previous post TABIKA Telok Gong diarah dikosongkan akibat hakisan serius
Next post PRK Batu Sapi, PRN Sarawak tidak dapat dielak – PM
Ubah saiz-+=