TABIKA Telok Gong diarah dikosongkan akibat hakisan serius

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

KUALA LINGGI 31 Okt – Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Alor Gajah mengarahkan Taman Bimbingan Kanak-kanak (TABIKA) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Kampung Telok Gong, Kuala Sungai Baru ditutup sejak Isnin lalu kerana didapati tidak selamat digunakan.

Menurut, Ketua Kampung Zaini Mohamad, premis itu diarahkan dikosongkan akibat hakisan pantai yang berlanjutan sejak Jun lalu sudah mencapai tahap serius hingga mendedahkan bangunan balai raya dan tabika itu kepada risiko runtuh.

Katanya, ketika ini, seramai 14 murid tabika berkenaan sudah ditempatkan sementara di Perpustakaan Kampung Telok Gong yang terletak kira-kira 900 meter dari tabika berkenaan.

“Hakisan pantai sudah berlanjutan sejak hujung Jun lalu dan minggu lalu ia menyebabkan tembok di bahagian menghadap laut runtuh, sekali gus mendedahkan lantai balai raya dan tabika kepada risiko runtuh.

ZAINI meneliti notis JKR mengenai penutupan balai raya dan TABIKA KEMAS Kampung Telok Gong, Kuala Sungai Baru kerana tidak selamat digunakan akibat hakisan pantai yang teruk.

“Kami amat bimbang keselamatan murid dan guru tabika kerana bila-bila masa sahaja lantai dan bangunan balai raya dan tabika boleh runtuh,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Berikutan arahan itu, murid terbabit tidak mampu meneruskan pembelajaran dan setakat ini terpaksa belajar di rumah melalui bimbingan ibu bapa masing-masing.

Zaini berkata, bangunan berkenaan harus diselamatkan daripada runtuh dengan kaedah membina tembok penahan ombak seperti yang dibina Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Kampung Sungai Kertah, Pengkalan Balak baru-baru ini.

“Kami merayu JPS segera membina tembok penahan ombak bagi menghalang ombak besar yang hakisan hingga ameruntuhkan bangunan yang dibina di atas tanah wakaf penduduk kampung ini,” katanya.

Pengerusi tabika itu, Mohd Ali Hanafiah berkata, beliau sudah mengemukakan permohonan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan
Negeri (Japerun) Kuala Linggi untuk mendapatkan kerjasama Perpustakaan Negeri Melaka bagi meminjam Perpustakaan Kampung Telok Gong.

“Bagaimanapun, setakat ini belum ada maklum balas mengenainya dan saya meminta supaya ia disegerakan demi pembelajaran murid,” katanya.

Ibu murid, Siti Zarinah Abu Hassan, 35, berkata beliau bimbang hakisan pantai mengancam keselamatan anaknya berusia enam tahun dan 13 murid lain dan berharap
perpustakaan itu dipinjamkan kepada KEMAS.

“Anak saya selalu tanya, bila dia boleh ke tabika semula kerana amat merindui pembelajaran dan kawan tetapi saya hanya mampu menjawab, insyaAllah dia akan dapat bersekolah di perpustakaan itu,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta JPS segera membina tembok penahan ombak atau benteng pemecah ombak bagi menyelamatkan bangunan itu daripada runtuh.

Views:

852
Kongsi :
Previous post Belanjawan 2021: Harap pelajar IPT dapat manfaat
Next post PM ajak semua ahli politik sokong Belanjawan 2021
Ubah saiz-+=