Produk inovasi APO guna minyak masak terpakai

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

DURIAN TUNGGAL 28 Jan. – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) membangunkan produk inovasi iaitu Alternatif Plastik Organik (APO) berasaskan minyak masak terpakai.

Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Wira Dr. Raha Abdul Rahim berkata, produk dicipta sekumpulan penyelidik universiti berkenaan memberi manfaat kepada sektor perindustrian dan komuniti masyarakat dunia.

Beliau berkata, produk inovasi itu jauh lebih baik dibandingkan dengan produk plastik sedia ada yang dihasilkan daripada polimer berasal daripada minyak pertroleum
mentah yang sangat toksik serta berbahaya.

ANTARA produk inovasi APO yang dihasilkan daripada minyak masak terpakai.

“APO direka cipta bagi menjaga kelestarian dan ekosistem alam sekitar dengan penggunaan semula minyak masak terpakai.

“Produk ini juga mampu menjadi alternatif kepada filamen pencetakan 3D yang menggunakan bahan berbeza,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) UTeM, Dr Mohd Hafidzal Mohd Hanafi berkata, produk itu dapat mengurangkan kesan sisa minyak terhadap saliran air yang menyebabkan pencemaran permukaan air serta gangguan bekalan oksigen terhadap hidupan akuatik.

MOHD Hafizal.

“APO berfungsi yang mana minyak masak terpakai akan dicampurkan bersama bahan organik dan juga penghablur untuk menjadikan produk bersifat seperti plastik.

“Bahan digunakan adalah bahan organik minyak masak terpakai yang dirawat dan digunakan semula menggunakan konsep kitar semula,” katanya.

APO dihasilkan sekumpulan penyelidik diketuai Mohd Hafidzal bersama empat pensyarah FKM iaitu Nurul Hanim Razak, Ts Dr. Asriana Ibrahim, Dr. Nur Izyan Zulkafli dan Prof Madya Ir. Ts. Dr Mohd Rizal Alkahari.

Turut terbabit, dua pensyarah dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FTKMP) iaitu Dr. Ridhwan Jumaidin dan Dr. Mohd Taufik Taib serta empat penuntut FKM iaitu Nurin Aina Syafiqah Shahrum, Farah Farzana Adrizal, Anis Ainaa Omar dan Nurul Afwanisa Ab Razak.

Pada masa sama, UTeM akan berkolaborasi dengan Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM)di samping memperluaskannya dalam sektor industri percetakan 3D.

Penyelidikan produk inovasi APO bermula pada 2013 sehingga kini menerusi geran Penyelidikan Jangka Pendek (PJP) dari UTeM dan geran FRGS dari Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) manakala proses penyelidikan untuk meningkatkan keupayaan dan potensi produk ini terus giat dijalankan.

APO pernah memenangi pingat emas dalam Apprentice Innovation & Research Exhibition (AIREX) 2020, empat pingat perak dalam Karnival Inovasi UTeMEX 2020, International Invention, Innovation & Technology Exhibition (ITEX) 2020

Selain Ekspo Maya Rekacipta dan Pameran Penyelidikan (EREKA) 2020 dan Anugerah Hijau Melaka 2019.

Views:

2882
Kongsi :
Previous post Nasib dua warga emas ‘tersisih’ dapat pembelaan kerajaan negeri
Next post Tidak salah nak bercucuk tanam, jangan berlebih-lebihan
Ubah saiz-+=