
ZOO MELAKA JADI DESTINASI PILIHAN CUTI SEKOLAH
AYER KEROH 9 Jun – Zoo Melaka terus membuktikan reputasinya sebagai destinasi pelancongan berasaskan haiwan dan pembelajaran pilihan ramai apabila diserbu pengunjung pada musim cuti sekolah ini.
Zoo Melaka dalam satu kenyataan memaklumkan, sejak cuti panjang bermula, dianggarkan hampir 2,000 pengunjung direkodkan dalam sehari, sekali gus menjadikannya sebagai antara produk pelancongan tumpuan di negeri ini.
Jelas Zoo Melaka, pelbagai tarikan menarik berkonsep pendidikan, selain peluang berinteraksi dengan haiwan tertentu menjadi antara nilai tambah yang menjadikan taman haiwan itu sebagai pilihan utama.
“Antara yang paling mendapat sambutan hangat adalah ‘petting zone’ yang memberi peluang kepada pengunjung, khususnya si cilik memberi makan serta menyentuh haiwan seperti arnab, guinea pig, ayam, meerkat, kambing pygmy, burung kakak tua, kura-kura dan ball python.
“Tidak ketinggalan, pertunjukan haiwan, memberi makan haiwan seperti gajah, zirafah dan kuda belang juga turut membuatkan ramai pengunjung teruja, seronok dan mengukir memori indah di Zoo Melaka,” kata kenyataan itu.
Selain itu, tawaran harga tiket berpatutan juga menjadi penyumbang dan memberi nilai tambah dalam menarik pengunjung serta pelancong ke Zoo Melaka.
Pada masa sama, Zoo Melaka juga menawarkan inisiatif kemasukan percuma kepada anggota bomba, jururawat dan guru yang berkhidmat di negeri ini sempena sambutan khas Hari Bomba, Hari Jururawat dan Hari Guru pada Mei lalu.
Insentif diperkenalkan menerusi Skim Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) Pelancongan di bawah Bajet Negeri Melaka 2026 itu boleh ditebus dalam tempoh sebulan, di mana selain penjawat awam dan anggota beruniform, pasangan dan anak-anak mereka juga boleh menikmati diskaun 50 peratus masuk ke Zoo Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

