Sorting by

×

CEPER HIDUPKAN KEMBALI NOSTALGIA PERMAINAN KANAK-KANAK

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

AYER KEROH 9 Jun – Permainan tradisional ceper yang pernah menjadi hiburan zaman kanak-kanak suatu ketika dahulu kembali dihidupkan menerusi Pertandingan King of Ceper sebagai usaha memelihara warisan budaya pada 5 Julai 2026 di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir.

Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) Erne Hamsah berkata, pertandingan itu bertujuan memelihara dan memartabatkan permainan tradisional sebagai warisan yang perlu diwarisi generasi akan datang.

“Kita mahu meningkatkan kesedaran dan penghayatan masyarakat terhadap warisan budaya tempatan melalui penglibatan dalam aktiviti permainan tradisional.

“Di samping menyediakan platform riadah, sihat serta berdaya saing yang menggalakkan semangat kesukanan, kerjasama dan persaingan positif dalam kalangan peserta,” katanya.

Katanya lagi, permainan ceper dipilih kerana ia merupakan permainan rakyat yang mudah dimainkan, tidak memerlukan kos tinggi serta mempunyai nilai sejarah dan budaya yang dekat dengan kehidupan masyarakat dahulu.

“Melalui penyertaan secara langsung, generasi muda bukan sahaja mempelajari cara permainan ini dimainkan, malah turut memahami nilai murni seperti kesabaran, semangat kesukanan, kerjasama dan menghargai warisan nenek moyang.

“Pertandingan ini dihadkan kepada 16 peserta sahaja dengan format liga berkumpulan membabitkan empat kumpulan yang mana setiap kumpulan terdiri daripada empat pemain.

“Setiap peserta akan melalui tiga perlawanan pada peringkat kumpulan sebelum juara dan naib juara kumpulan mara ke peringkat suku akhir, seterusnya ke separuh akhir dan akhir bagi menentukan juara keseluruhan,” katanya.

Erne berkata setakat ini, seramai 12 peserta telah mendaftar dan pendaftaran masih dibuka secara dalam talian melalui Google Form’ yang dihebahkan menerusi pelbagai platform media sosial.

“Berbeza dengan aktiviti lain dalam festival yang tertumpu kepada makanan warisan, pertandingan ini memberi ruang kepada pengunjung untuk menyaksikan sendiri permainan tradisional yang pernah menjadi hiburan masyarakat dahulu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

456
Kongsi :
Previous post ZOO MELAKA JADI DESTINASI PILIHAN CUTI SEKOLAH
Next post KANSER SERVIKS, ‘PEMBUNUH’ UTAMA KAUM HAWA