Sorting by

×

KANSER SERVIKS, ‘PEMBUNUH’ UTAMA KAUM HAWA

Masa Membaca:3 Minit, 9 Saat

Oleh: Dr. Nor Idyani Abd Rashid
Pakar Sakit Puan & Perbidanan
Oriental Melaka Straits Medical Centre

Mugshot doktor

KANSER serviks, juga dikenali sebagai kanser pangkal rahim, merupakan kanser ketiga tertinggi di Malaysia. Kanser serviks merupakan antara masalah kesihatan utama wanita di Malaysia. Pada peringkat awal, kanser ini selalunya berkembang secara senyap tanpa sebarang tanda yang jelas.

Ramai wanita tidak sedar mereka berisiko kerana gejalanya sering tidak jelas pada peringkat awal. Jadi, apa sebenarnya kanser serviks, dan bagaimana anda boleh lindungi diri anda?

APA ITU KANSER SERVIKS

Kanser serviks berlaku apabila sel-sel di serviks (iaitu pangkal rahim) mula berubah secara tidak normal dan membiak secara tidak terkawal. Dalam banyak kes, perubahan ini berlaku secara perlahan-lahan, bermula dengan keadaan prakanser sebelum berkembang menjadi kanser sepenuhnya.

Kanser serviks terjadi apabila berlaku mutasi (perubahan pada struktur DNA) sel pada tisu-tisu yang sihat menyebabkan sel-sel tersebut membiak dengan tidak terkawal lalu menyebabkan pertumbuhan tumor.

Jangkitan virus HPV meningkatkan lagi kecenderungan seseorang wanita itu untuk medapat kanser serviks. Jangkitan virus HPV boleh didapati melalui hubungan seksual. Selain itu, bertukar-tukar atau mempunyai pasangan seksual yang ramai juga boleh menjadi penyumbang kepada kanser serviks. Antara faktor risiko lain kanser serviks adalah seperti:

* Jangkitan HIV (Human Immunodeficiency Virus)
* Penyakit kelamin/jangkitan seksual
* Merokok
* Sejarah dalam ahli keluarga mempunyai kanser serviks

TANDA-TANDA DAN GEJALA KANSER SERVIKS

* Tompokan darah atau pendarahan ringan dari faraj di antara haid atau selepas haid
* Pendarahan dari faraj iaitu haid yang lebih lama dan lebih panjang daripada kebiasaannya
* Sakit semasa melakukan hubungan seksual
* Pendarahan selepas melakukan hubungan seksual
* Keputihan menjadi bertambah banyak
* Berlaku pendarahan dari faraj selepas putus haid (menopause)
* Sakit pada bahagian pelvis atau belakang secara berterusan tanpa ada penjelasan yang menjadi punca kepada kesakitan tersebut

BAGAIMANA CARA KENAL PASTI KANSER SERVIKS?

Kaum wanita digalakkan untuk menjalani saringan kanser serviks secara tetap. Pilihan ujian saringan yang tersedia sekarang ini bagi kanser serviks termasuk ujian pap smear dan/atau ujian HPV DNA.

Ujian pap smear adalah pemeriksaan sitologi berasaskan cecair (LBC). Ujian HPV DNA digunakan untuk mengenal pasti wanita yang membawa virus ini dan subjenisnya. Kedua-dua ujian ini boleh dilakukan berasingan atau bersama dalam prosedur saringan bagi kanser serviks.

Ujian pap smear dilakukan pada wanita untuk memeriksa perubahan prakanser di dalam serviks. Ujian ini akan dilakukan dengan mengambil sampel sel daripada permukaan serviks atau cecair di dalam vagina. Sampel itu akan diuji di makmal untuk menentukan kehadiran HPV atau sel abnormal.

Jika ujian pap smear menunjukkan kehadiran sel-sel abnormal, langkah seterusnya adalah pemeriksaan kolposkopi, di mana doktor akan memeriksa serviks melalui mikroskop untuk mengesahkan kewujudan sel-sel prakanser. Biopsi biasanya akan dilakukan bagi mengesahkan diagnosis.

APA KAEDAH RAWATAN KANSER SERVIKS?

Apabila seorang wanita disahkan menghidap kanser serviks rawatan harus dimulakan untuk mengelakkan kanser serviks menjadi lebih besar atau merebak ke tempat lain. Rawatan awal dapat memulihkan kesihatan dan meningkatkan kualiti kehidupan. Antara rawatan yang ada ditawarkan di hospital-hospital adalah seperti:

* Pembedahan – pembedahan dilakukan untuk membuang sel-sel kanser tersebut
* Radioterapi – bertujuan untuk mengecutkan tumor (ketumbuhan) dan memusnahkan sel-sel kanser dengan menggunakan sinaran tenaga tinggi
* Kemoterapi – rawatan ubat sitotoksik yang digunakan untuk membunuh sel-sel kanser. Ia boleh didapati dalam bentuk cecair yang diberikan secara suntikan atau biji yang diambil secara oral

BOLEHKAH KANSER SERVIKS DICEGAH?

Ya, kanser serviks boleh dicegah. Untuk mencegahnya, pastikan semua gadis muda yang berumur 13 tahun divaksinasi untuk melawan HPV. Semua wanita yang aktif secara seksual harus menjalani saringan tetap dengan ujian pap smear dan/atau ujian HPV DNA. Wanita berumur lebih daripada 21 tahun disarankan untuk menjalani ujian pap smear setiap tiga tahun.

Wanita melebihi usia 30 tahun perlu menjalani ujian pap smear atau ujian HPV DNA setiap tiga tahun. Jika keputusan bagi kedua-dua ujian adalah negatif, ujian seterusnya boleh dilakukan setiap lima tahun.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

406
Kongsi :
Previous post CEPER HIDUPKAN KEMBALI NOSTALGIA PERMAINAN KANAK-KANAK
Next post MPAG TERIMA ANUGERAH PERDANA KESELAMATAN PERLINDUNGAN 2025