
TIPU BELIAN ONLINE PALING BANYAK PERANGKAP MANGSA DI MELAKA
AYER KEROH 9 Jun – Jenayah siber di Melaka menunjukkan peningkatan membimbangkan apabila sebanyak 917 kes direkodkan bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini berbanding 706 kes sahaja bagi tempoh sama tahun lalu.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka Deputi Superintendan Mohd Nazaimi Jasmi berkata, peningkatan itu melibatkan tambahan sebanyak 211 kes pada tahun ini.
Menurutnya, kes tipu belian dalam talian merekodkan jumlah tertinggi dengan 371 kes bagi tempoh Januari hingga Mei 2026 berbanding 185 kes yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun lalu, menunjukkan peningkatan sebanyak 186 kes.
“Kes kedua tertinggi ialah penipuan pelaburan dengan 172 kes direkodkan tahun ini berbanding 139 kes pada tahun lalu, iaitu peningkatan sebanyak 33 kes.
“Selain itu, kes pinjaman tidak wujud turut meningkat daripada 124 kes pada 2025 kepada 154 kes tahun ini, melibatkan pertambahan sebanyak 30 kes,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini pada Bengkel Pelaksanaan Kempen Kesedaran Jenayah Kewangan (Scammer) Negeri Melaka Tahun 2026 di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Walau bagaimanapun, Mohd Nazaimi berkata kes penipuan menerusi panggilan telefon atau ‘phone scam’ menunjukkan penurunan apabila hanya 61 kes direkodkan pada tahun ini berbanding 108 kes bagi tempoh sama tahun lalu, iaitu berkurangan sebanyak 47 kes.
Katanya, kebanyakan mangsa penipuan siber menjadi mangsa keadaan kerana kurang pendedahan mengenai taktik penjenayah selain mudah mempercayai tawaran yang diterima, khususnya menerusi media sosial.
“Bagi kes tipu belian dalam talian, ramai mangsa tertarik dengan tawaran harga yang terlalu murah. Selepas membuat bayaran, barang yang dijanjikan tidak diterima.
“Kebanyakan kes berlaku kerana individu itu sendiri tidak membuat semakan atau pengesahan terlebih dahulu sebelum melakukan transaksi,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran dalam talian dan mendapatkan pandangan ahli keluarga atau individu yang lebih berpengetahuan sekiranya berasa ragu-ragu.
“Orang ramai digalakkan menggunakan aplikasi ‘Semak Mule’ bagi menyemak nombor telefon atau akaun bank yang diterima sebelum membuat sebarang urusan pembayaran bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


