Sorting by

×

UNIMEL MAHU LEBIH DIKENALI DI PERINGKAT ANTARABANGSA

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

KUALA LINGGI 9 Jun – Universiti Islam Melaka (UNIMEL) sedang melaksanakan pelbagai inisiatif dan pembaharuan agar kehadiran institusi itu lebih mendapat perhatian dunia akademik antarabangsa.

Naib Canselor UNIMEL Prof. Datuk Ts. Dr. Abdul Khalil Shawkataly berkata, universiti itu tidak boleh terus selesa dengan pencapaian sedia ada, sebaliknya perlu berusaha untuk meraih banyak lagi kejayaan sebagai penanda aras agar lebih menonjol dan lebih dikenali, sekali gus menjadi pilihan pelajar pada masa akan datang.

Katanya, antara usaha yang dilakukan adalah menyediakan tenaga akademik yang lebih kompeten termasuk mereka yang sebelum ini berkhidmat di lapangan atau industri berkaitan dengan kursus-kursus ditawarkan di UNIMEL.

“Contoh terkini ada dalam kalangan pensyarah UNIMEL ketika ini adalah pakar yang berkhidmat di pusat perubatan swasta terkemuka. Tenaga akademik berkualiti dan kompeten amat penting dalam merealisasikan hasrat kita untuk melahirkan graduan berteraskan nilai H.E.R.O (Holistic, Enterprenerial, Responsible,Outstanding).

“Kita juga menstrukturkan program pengajian, jika sebelum ini tempoh pengajian adalah empat tahun dipendekkan kepada tiga tahun sahaja,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurutnya, UNIMEL juga sedang giat memperkukuhkan jaringan kerjasama pelbagai bentuk bersama institusi akademik, industri dan pihak berkenaan bagi peringkat tempatan dan antarabangsa.

Tegasnya, setiap memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani akan dipastikan membawa hasil kepada UNIMEL dan Negeri Melaka, bukan sekadar majlis yang kekal dalam lipatan sejarah.

“Baru-baru ini UNIMEL menandatagani MoU bersama pemain industri di Indonesia dan hasrat kita adalah untuk mempromosikan kursus Diploma Haji dan Umrah. Ini satu peluang yang amat bagus kerana mereka ada lebih 7,000 ejen pelancongan yang beroperasi di negara berkenaan.

“Bagi menarik perhatian pelajar antarabangsa UNIMEL juga berusaha untuk mendapatkan pengiktirafan contoh daripada Quacquarelli Symonds (QS),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

589
Kongsi :
Previous post MELAKA BAKAL TERIMA 30 AMBULANS BAHARU
Next post TIPU BELIAN ONLINE PALING BANYAK PERANGKAP MANGSA DI MELAKA