Tidak salah nak bercucuk tanam, jangan berlebih-lebihan

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

BUKIT KATIL 28 Jan. – Penduduk di taman perumahan sekitar Hang Tuah Jaya diingatkan tidak menjalankan aktiviti pertanian bandar sehingga mengganggu kawasan kejiranan.

Ia selepas tularnya kejadian di Taman Saujana Seksyen 3, di sini, apabila ada penduduk yang menjadikan lorong belakang perumahan itu sebagai mini nurseri dengan menanam pelbagai jenis tumbuhan sehingga menutup laluan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Shadan Othman berkata, aktiviti itu dikesan selepas pihaknya menerima aduan penduduk sekitar yang mendakwa aktiviti pertanian itu telah mengganggu kawasan kejiranan.

Beliau berkata, meskipun hasil tanaman itu untuk kegunaan sendiri atas alasan harga sayur mahal, penduduk tidak boleh sewenangnya bercucuk tanah di kawasan yang tidak dibenarkan.

“Kita nak ingatkan bahawa kawasan lorong di belakang rumah bukan tempat untuk buat nurseri atau bercucuk tanam sebaliknya ia untuk kegunaan orang ramai.

“Laluan itu juga penting apabila berlakunya kes-kes kecemasan seperti kebakaran dan sebagainya, sebab itulah kita mengambil berat isu-isu seperti ini.

“Seperti di Taman Saujana kita sendiri menerima aduan daripada penduduk sekitar yang tidak selesa dengan tindakan itu. Jadi, kita mohon agar tidak berlaku lagi kes sebegitu,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Shadan berkata, di peringkat awal, pihaknya hanya mengeluarkan notis supaya penduduk berkenaan segera membersihkan dan berhenti bercucuk tanam di kawasan itu.

“Sekiranya ingkar, MPHTJ tidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan kompaun di atas kesalahan itu,” katanya.

Views:

1271
Kongsi :
Previous post Produk inovasi APO guna minyak masak terpakai
Next post ITP tawar kursus usahawan atas talian percuma
Ubah saiz-+=