Prof Dr Mohd Sazili dilantik TNC HEP UiTM baharu

Masa Membaca:55 Saat

SHAH ALAM 14 Jun – Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengumumkan pelantikan Prof Dr Mohd Sazili Shahibi sebagai Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) yang baharu menggantikan Prof Dr Azizan Abdullah, berkuat kuasa hari ini.

Dalam kenyataan hari ini, UiTM memaklumkan Mohd Sazili, 51, merupakan pakar bidang sistem dan teknologi maklumat serta e-dagang yang telah berkhidmat di UiTM selama hampir 20 tahun di pelbagai peringkat pengurusan, akademik dan kepemimpinan pelajar.

Menurut UiTM Mohd Sazili juga merupakan penerima Asia Education Leadership Award oleh CMO Asia & World Education Congress pada 2018, sebagai pengiktirafan terhadap kualiti dan kecemerlangan kepemimpinan beliau dalam mengendali dan menangani isu-isu pendidikan.

“Sebagai Timbalan Naib Canselor HEP yang baharu, Mohd Sazili diharap terus menyerlahkan kualiti dan kecemerlangan pengurusan pelajar sejajar dengan hasrat dan matlamat pelan strategik UiTM 2025 untuk menjadi universiti terkemuka dunia,” menurut kenyataan itu di sini.

UiTM turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kementerian Pengajian Tinggi atas pelantikan tersebut.

Universiti itu juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Azizan atas segala khidmat bakti dan kepimpinan sepanjang tempoh menyandang jawatan tersebut.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

624
Kongsi :
Previous post Ahmad Nazim dilantik sebagai ketua eksekutif LTAT yang baharu
Next post Bayi perempuan ditemukan dalam kotak di perhentian bas
Ubah saiz-+=