Program MBA berkualiti di UiTM Bandaraya Melaka

Masa Membaca:2 Minit, 57 Saat

BANDARAYA MELAKA 24 Januari – Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Bandaraya Melaka merupakan pilihan tepat buat bakal pelajar eksekutif iaitu mereka yang bekerja dan berpengalaman untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA).

Selain lokasi dan tempat pembelajaran yang kondusif, jurusan MBA yang diuruskan Arshad Ayub Graduate Business School (AAGBS) itu turut membariskan pensyarah yang berpengalaman dan pakar dalam setiap subjek yang diajar.

Menurut Koordinator Pasca Siswazah MBA UiTM Kampus Bandaraya Melaka, Dr. Mohd Hafiz Bakar, bagi melahirkan pemimpin dalam bidang perniagaan yang berkualiti, setiap pembelajaran di UiTM Kampus Bandaraya Melaka sentiasa disemak dan ditambah baik.

Jelasnya, pengajian MBA di UiTM Kampus Bandaraya Melaka menawarkan kelas pada setiap hujung minggu dengan format fizikal dan secara dalam talian.

“Program MBA yang ditawarkan adalah pada hujung minggu pada setiap Sabtu dan Ahad serta kelas secara modular iaitu pembelajaran satu subjek setiap bulan.

“Progam ditawarkan ini memperoleh pengiktirafan kebangsaan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) selain turut diiktiraf antarabangsa apabila ramai dalam kalangan alumni menyambung pelajaran ke peringkat seterusnya di institusi di luar negara,” katanya yang juga merupakan pensyarah Managerial Finance (FIN745).

Photo 2024 01 24 15 27 54
Koordinator Pasca Siswazah MBA UiTM Kampus Bandaraya Melaka, Dr. Mohd Hafiz Bakar bersama pensyarah, Prof Madya Dr.Halimahton Borhan dan Prof.Madya Dr.Ramesh Krishnan ketika ditemui di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka Kampus Bandaraya Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

Menurutnya, kursus MBA yang ditawarkan mempunyai empat semester dan tempoh pembelajaran sehingga 24 bulan di mana program tersebut direka khas buat calon dinamik yang ingin mencapai kemajuan profesional dan kerjaya.

Mengikut pelan pembelajaran MBA UiTM, untuk tempoh empat semester, sebanyak 41 jam kredit diperuntuk dengan 14 subjek termasuk dua subjek elektif.

Sementara itu, Pensyarah Managerial Business Analytics (MGT782) Prof. Madya Dr. Ramesh Krishnan memaklumkan, pelajar MBA di universiti itu akan didedahkan dengan pengetahuan dan kemahiran berkaitan industri untuk menangani kompleks isu dalam persekitaran perniagaan global pada hari ini.

Jelasnya, pelajar juga akan diajar seiring dengan standard dan garis panduan yang diterbitkan oleh Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia untuk mengawal operasi dalam perniagaan.

“Program ini direka untuk menyediakan individu dengan pemahaman yang menyeluruh tentang pelbagai perkembangan dalam pasaran yang mana setiap subjek pembelajaran boleh diaplikasi dalam pekerjaan.

“Kelainan yang diajar pada MBA UiTM berbanding dengan universiti lain adalah, di sini kita juga menekankan tentang pengurusan Data Raya (Big Data), Digital Data yang menyediakan kemahiran kepada graduan dalam industri,” jelasnya yang berpengalaman selama 22 tahun sebagai pensyarah dan tujuh tahun dalam industri.

Photo 2024 01 24 15 30 18
Pensyarah, Prof.Madya Dr.Ramesh Krishnan ketika ditemui di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka Kampus Bandaraya Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

Pensyarah Economics For Business Decisions (ECO745) Prof. Madya Dr. Halimahton Borhan pula memaklumkan subjek yang diajar untuk program itu lebih fleksibel dan pelajar bakal mendapat ilmu yang diperlukan.

“Program MBA adalah fleksibel dan direka untuk menyediakan individu dengan pemahaman yang menyeluruh tentang pelbagai perkembangan dalam pasaran,” katanya.

Program MBA UiTM menawarkan yuran RM21,000 untuk seluruh semester dan pelajar boleh membayar secara ansuran iaitu RM5,000 bagi setiap semester, selain boleh juga mendapatkan khidmat nasihat daripada kewangan UiTM.

Mereka yang mahu mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai MBA UiTM Kampus Bandaraya Melaka boleh menghubungi Dr. Mohd Hafiz di talian 6011-35674390 atau emel di
[email protected].

Photo 2024 01 24 15 31 22
Pensyarah, Prof Madya Dr.Halimahton Borhan ketika ditemui di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka Kampus Bandaraya Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

951
Kongsi :
Previous post Keluarga Bella zahir ucapan terima kasih atas komitmen polis
Next post Remaja maut digilis pacuan empat roda
Ubah saiz-+=